suria

Pekerja Cityliner Yang Diberhentikan Terima Pampasan

KEPALA BATAS: Kesemua 14 pekerja termasuk pemandu bas henti-henti Cityliner laluan Butterworth-Parit Buntar yang diberhentikan sejak lima bulan lepas kini boleh menarik sedikit nafas lega apabila mereka menerima pampasan berjumlah RM222,747 pada Khamis.

Pegawai Perhubungan Pengangkutan Kesatuan Pekerja-Pekerja Pengangkutan Wilayah Utara, Musa Abdullah berkata, setiap pekerja akan menerima pampasan antara RM7,000 hingga RM32,000 mengikut tempoh perkhidmatan mereka dengan syarikat itu.

"Bayaran pampasan itu akan dibayar secara berperingkat mulai hari ini hingga Mac kerana syarikat berkenaan tidak mampu membayar kesemua sekaligus hari ini.

"Jika syarikat gagal membayar, mereka boleh dikenakan tindakan oleh Mahkamah kerana arahan pembayaran pampasan itu telah dikeluarkan oleh Penolong Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Pulau Pinang Zulhisham Abu Bakar hari ini," katanya kepada pemberita di sini.

Seramai 14 pekerja Cityliner itu diberhentikan atas alasan syarikat itu menanggung kerugian setiap tahun.

Musa berkata, pampasan itu akan meringankan beban 11 pemandu, dua ketua stesen bas dan seorang pemeriksa tiket bas yang belum mendapat kerja sejak diberhentikan pada Ogos lepas.

"Selepas lima bulan mereka naik turun JTK bagi menuntut hak mereka, hari ini semua pekerja yang terlibat mampu bergembira kerana perjuangan untuk mendapatkan pampasan berjaya dan ia sedikit sebanyak mampu meringankan bebanan hidup mereka," katanya.

Musa juga berharap Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dapat mengagihkan segera bantuan sebanyak RM400 juta yang kerajaan sediakan bagi memastikan pengusaha bas henti-henti swasta di negeri ini terus beroperasi.

Sementara itu wakil pekerja berkenaan yang ditemui V.Ramakrishnan, 52, berkata mereka gembira dan lega kerana berjaya memperoleh pampasan walaupun ia dibayar secara beransur-ansur.

Beliau yang bekerja sebagai pemandu bas henti-henti Cityliner sejak 31 tahun lepas menerima pampasan berjumlah RM31,109 dan mahu memulakan perniagaan kecil-kecilan bagi menyara keluarganya.

"Sejak diberhentikan, saya belum memperoleh sebarang pekerjaan tetap dan hanya bekerja secara sambilan bagi menyara keluarga termasuk tiga anak yang masih belajar," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain