suria

PAS Sepatutnya Terhina Tak Jaga Portfolio Islam Di Selangor:Ahmad Maslan

PONTIAN: PAS sepatutnya berasa terhina berikutan tindakan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim mengambil alih portfolio Hal Ehwal Islam yang sebelum ini disandang oleh parti itu sebelum ini, kata Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan.

"Tindakan berkenaan merupakan satu penghinaan halus terhadap kepimpinan Pas di Selangor. Daripada apa yang berlaku ini, kita dapat melihat bahawa mereka semakin disisihkan dalam pentadbiran kerajaan negeri," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di Dewan Jubli Intan pada Khamis.

Pada Rabu semasa Khalid mengumumkan pelantikan Anggota Dewan Undangan Negeri Selangor kawasan Sijangkang, Dr Ahmad Yunus Hairi daripada Pas sebagai Exco Kerajaan Negeri Selangor yang baru menggantikan Datuk Dr Hasan Ali yang dipecat daripada Pas, berkata beliau sendiri akan menerajui portfolio agama yang sebelum ini disandang oleh Hasan.

Ahmad, yang juga Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri berkata, Pas selama ini menjaga hal ehwal agama tetapi berikutan rombakan, parti itu kini menjaga porfolio belia dan sukan.

Seramai 1,889 penduduk di kawasan Parlimen Pontian layak menerima BR1M bagi fasa pertama dan daripada jumlah itu, 386 adalah dari Pontian manakala baki 1,503 adalah dari kawasan Dewan Undangan Negeri Pulai Sebatang.

Ahmad berkata BR1M bukan bertujuan meraih undi pada pilihan raya umum akan datang sebaliknya untuk meringankan bebanan rakyat.

"Bagi mereka yang tidak menerima BR1M jangan berkecil hati kerana mereka turut merasai bantuan secara tidak langsung daripada kerajaan dalam bentuk pemberian subsidi harga barangan," kata beliau. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain