suria

Lebih 1,000 Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK Pantau Harga Barang Sempena Tahun Baru Cina

KUALA LUMPUR: Seramai 1,300 pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan memantau harga barangan terkawal di seluruh negara sempena perayaan Tahun Baru Cina, kata Timbalan Menterinya, Datuk Tan Lian Hoe.

Beliau berkata, pemantauan akan dilakukan di 146 kawasan dan daerah, 89 di Semenanjung, 24 (Sabah), 32 (Sarawak) dan satu (Labuan).

"Hari ini saya juga terlibat secara langsung melakukan pemantauan harga, selain pengarah dan penguat kuasa KPDNKK sendiri. Saya amat berpuas hati dengan peniaga di sini.

"Hasil tinjauan hari ini saya dapati peniaga mematuhi arahan yang telah ditetapkan kementerian, dan saya ingin menasihatkan agar peniaga tidak meletakkan harga sewenang-wenangnya," katanya kepada pemberita selepas melawat Pasar Sentul di sini Khamis.

Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baru Cina 2012 bermula 19 hingga 30 Januari ini.

Beliau meminta peniaga supaya menggunakan tanda harga berwarna merah jambu ke atas barangan terkawal yang jika gagal berbuat demikian, mereka boleh didenda RM10,000 dan RM20,000 bagi syarikat.

Sebanyak 13 jenis barangan diletak di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baru Cina 2012 antaranya ayam, telur, kubis bulat import, dan ikan bawal putih besar. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain