suria

Kerja Tambah Baik 55 Lokasi Jalan Kerap Berlaku Kemalangan Selesai:Shaziman

PETALING JAYA: Kerja penambahbaikan terhadap 55 lokasi yang sering berlaku kemalangan di jalan persekutuan dan lebuh raya telah selesai dijalankan, membabitkan kos RM17.62 juta.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Shaziman Abu Mansor berkata sebanyak RM16.35 juta dibelanjakan untuk kerja baik pulih di 40 lokasi di jalan persekutuan dan RM1.27 juta di 15 lokasi di lebuh raya sepanjang tahun lepas.

"Kerja melibatkan pembinaan lintasan pejalan kaki, pemasangan penghadang jalan, penambahbaikan persimpangan jalan serta pemasangan 'road stud'," katanya dalam ucapan pada Majlis Kempen Keselamatan di Jalan dan Lebuh Raya sempena sambutan Tahun Baru Cina, di sini Khamis.

Teks ucapan beliau dibaca Ketua Setiausaha kementerian Datuk Himmat Singh Ralla Singh.

Beliau juga berkata bagi mengurangkan risiko kemalangan pada musim perayaan ini, kerja pembaikan dan pembinaan di jalan raya dihadkan kepada kerja kritikal sahaja.

"JKR (Jabatan Kerja Raya) telah diminta untuk memastikan penyenggaraan pada tahap terbaik bagi mengurangkan gangguan terhadap lalu lintas," katanya.

Beliau juga berkata sepanjang sambutan Tahun Baru Cina kali ini, 25 syarikat konsesi lebuh raya bersetuju memberi insentif berbentuk diskaun dan rebat tol kepada pengguna lebuh raya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain