suria

Empat Maut Dalam Kemalangan Ngeri Di Gong Badak

KUALA TERENGGANU: Empat maut dalam satu kemalangan ngeri membabitkan tiga kenderaan di Jalan Sultan Mizan berhampiran Taman Semarak di Gong Badak dekat sini lewat petang Rabu.

Mangsa yang terbunuh dalam insiden kira-kira 6.30 petang itu ialah Nor Azni Mat Jusoh, 41, dari Felda Mengkawang Ajil; Zaini Abdul Razak, 43, dari Ayer Keroh, Melaka; Mohd Faris Mohd Shaimi, 26, dan Mohd Rizal Ibrahim, 30, dari Kedah.

Ketua Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Abdullah Zawawi Mohamad berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Honda City yang dinaiki Faris dan rakannya Mohd Rizal terbabas sebelum melambung dan memasuki arah bertentangan serta menghempap kereta Perodua Kancil yang dinaiki Nor Azmi dan Zaini.

"Sebuah kereta Proton Pesona yang datang dari arah Kuala Terengganu ke Gong Badak tidak sempat mengelak dan turut terlibat dalam kemalangan. Bagaimanapun, pemandunya yang merupakan seorang wanita tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya kepada pemberita di tempat kejadian, Rabu.

Nahas itu menyebabkan Nor Azni, Zaini dan Mohd Faris tersepit dalam kenderaan manakala Mohd Rizal pula tercampak di jalan raya.

Sembilan anggota dan pegawai bomba mengambil masa hampir 15 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Sementara itu, pemandu Proton Persona Noriani Mohammad, 35, berkata, ketika kejadian, beliau dari arah Kuala Terengganu menuju ke rumahnya di Wakaf Tengah.

"Sampai di tempat kejadian, saya tiba-tiba ternampak sebuah kereta jenis Honda dari arah bertentangan yang dipandu laju tiba-tiba terbabas sebelum terbang ke laluan bertentangan dan menghempap sebuah kereta Perodua Kancil di hadapan saya, yang dinaiki oleh dua lelaki.

"Kesan daripada pelanggaran itu, seorang penumpang kereta Honda turut tercampak keluar," katanya.

Noriani yang tidak sempat mengelak, turut melanggar belakang kereta Perodua Kancil itu, namun beliau bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kecederaan.

Jenazah semua mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk bedah siasat. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain