suria

Dr Abdul Rani Tidak Dilantik Exco, Boleh Fokus Pilihan Raya Umum

PETALING JAYA: Keputusan PAS untuk tidak mencalonkan Pesuruhjayanya Dr Abdul Rani Osman sebagai Exco kerajaan negeri Selangor yang baru akan membolehkan parti itu membuat persiapan lebih baik menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, Dr Abdul Rani sebagai pesuruhjaya PAS Selangor dapat memberikan lebih fokus pada tugasnya selaku pemimpin parti di peringkat negeri.

“Banyak yang perlu dirancangkan oleh beliau sebagai persiapan untuk menghadapi pilihan raya. Soal beliau tidak dilantik bukan menjejaskan parti tetapi memberi ruang lebih khusus kepadanya untuk kita (PAS) membuat persiapan,” katanya kepada mStar Online ketika dihubungi, Khamis.

Sebelum ini timbul desas-desus mengatakan bahawa Dr Abdul Rani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Meru itu yang bakal dilantik menggantikan Datuk Dr Hasan Ali sebagai anggota exco.

Ini kerana beliau merupakan peneraju PAS negeri.

Mengulas mengenai laporan muka depan akhbar Utusan Malaysia bertajuk ‘Pas dimalukan di Selangor’ yang disiarkan pada Khamis, Mahfuz sekali lagi mengatakan bahawa PAS tidak pernah merasa terjejas meskipun portfolio hal ehwal agama Islam telah diambilalih oleh menteri besar sendiri.

Adun Sijangkang, Dr Ahmad Yunus Hairi pada Rabu dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri Selangor yang baru sekali gus menjawab teka-teki mengenai siapa yang akan menggantikan Dr Hasan.

Pelantikan Dr Ahmad Yunus dibuat bagi menggantikan Dr Hasan ekoran pemecatan keanggotaan Adun Gombak Setia itu pada 8 Januari lalu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain