suria

Bidang Kuasa Sivil, Syariah Jabatan Bantuan Guaman Diperluas Mulai 1 Januari

PUTRAJAYA: Bermula 1 Januari lepas Jabatan Bantuan Guaman (JBG) akan memperluaskan bidang kuasa sivil dan syariahnya, ekoran permintaan tinggi selain memenuhi fungsi JBG dalam memberi bantuan kepada mereka yang kurang berkemampuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Abdul Aziz berkata, pemerluasan bidang kuasa syariah bagi JBG meliputi prosiding berhubung ganti rugi pertunangan, hutang perkahwinan dan mutaah.

"Ia juga meliputi prosiding berhubung dengan alang semasa hidup (hibah) dan wasiat yang juga merupakan kes berkaitan dengan kes kekeluargaan," katanya pada sidang media selepas menghadiri perhimpunan bulanan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di sini, Khamis.

Nazri berkata pemerluasan bidang kuasa sivil di Sabah dan Sarawak pula berhubung dengan permohonan nafkah, pengangkatan (anak) dan pentadbiran harta pusaka, yang selama ini hanya terdapat di Semenanjung sahaja.

Bagaimanapun, pemerluasan bidang kuasa itu mengambil kira kemampuan sumber manusia JBG pada masa ini, bagi memastikan kualiti perkhidmatan yang tinggi dapat dikekalkan, katanya.

Sementara itu, Nazri berkata, sehingga Disember tahun lepas, Jabatan Insolvensi telah menerima sebanyak 19,167 kes kebankrapan baru iaitu peningkatan sebanyak 5.78 peratus berbanding 18,119 tahun sebelumnya.

"Jumlah penyelesaian kes kebankrapan juga menunjukkan peningkatan sebanyak 67 peratus iaitu 10,680 bankrap dapat dikeluarkan berbanding 6,396 kes pada 2010," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain