suria

Akuan Bersumpah Wujudkan Ketelusan, Yakinkan Masyarakat

KUALA LUMPUR: Cadangan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah agar pengisytiharan harta anggota pentadbiran persekutuan dibuat secara akuan bersumpah akan mewujudkan ketelusan dan meningkatkan keyakinan rakyat.

Bekas Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Samsuri Arshad berkata tindakan itu juga bermakna rakyat mempunyai akses kepada pendapatan pemimpin mereka, sekali gus meningkatkan persepsi integriti pada pandangan masyarakat.

"Tidak ada ada yang hendak disorokkan. Masyarakat sentiasa mempunyai perasaan ingin tahu mengenai gaji pemimpin negara dan saya mengalu-alukan cadangan itu," katanya kepada Bernama, di sini Khamis.

Beliau mengulas cadangan lembaga itu semalam agar menteri, timbalan menteri serta anggota keluarga terdekat mereka membuat pengisytiharan harta secara akuan bersumpah dan salinannya disimpan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Saranan itu bagi membolehkan SPRM menjalankan siasatan terhadap sebarang dakwaan rasuah tanpa perlu merujuk kepada kuasa eksekutif, sekali gus meningkatkan kebebasan suruhanjaya.

Mengulas lanjut, Samsuri berkata pendekatan sedemikian juga akan menghentikan spekulasi negatif daripada parti pembangkang yang kerap menimbulkan kenyataan tidak berasas berkenaan isu terbabit.

Katanya pelaksanaan langkah itu juga akan memperkukuhkan lagi program transformasi yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi meningkatkan sistem penyampaian serta integriti mereka pada mata umum. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain