suria

Polis Jumpa 300 Pil Ecstacy Dalam Tiga Paket Angpau Di Taman Sri Petaling

KUALA LUMPUR: Lebih 300 pil Ecstacy dijumpai dalam tiga paket angpau di sebuah rumah di Taman Sri Petaling di sini dalam satu serbuan pada awal pagi Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Superitendan Wan Abd Bari Wan Abd Khalid berkata, dua lelaki ditahan bersama angpau berkenaan serta 12 paket dadah Ketamin seberat 34 gram.

Beliau berkata, sepasukan anggota polis telah mengekori serta menahan kedua-dua suspek yang berada dalam keadaan mencurigakan sebelum menemui dadah itu di ruang tamu rumah tersebut.

"Dua lelaki tempatan yang berumur dalam lingkungan 30-an itu dipercayai bergiat aktif sejak lima tahun sebelum ini, dan anggaran nilai rampasan adalah sebanyak RM4,500," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya, Rabu.

Wan Abd Bari berkata, mereka kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam perkembangan lain, Wan Abd Bari berkata, seorang rakyat Bangladesh mati selepas koma akibat disamun sekumpulan tujuh remaja di Taman Bukit Angkasa kira-kira 7.30 malam pada Sabtu lepas.

Beliau berkata, mangsa meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pagi semalam akibat kecederaan di kepala selepas dibelasah remaja berkenaan.

Bagaimanapun, rakan mangsa yang turut disamun dalam kejadian itu terselamat, katanya.

Wan Abd Bari berkata, kumpulan remaja berumur 20-an itu menyamun telefon bimbit milik kedua-dua rakyat Bangladesh yang bekerja sebagai buruh.

"Setakat ini, kami berjaya menahan tiga suspek, dua lagi sudah dikenal pasti dan dua lagi masih dalam siasatan," katanya.

Beliau berkata, suspek kini ditahan reman dan mereka akan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh. - BERNAMA HTS MAMA RV SBB

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain