suria

Polis Akhirnya Berkas Lelaki Disyaki Terlibat Kes Rogol & Bunuh 6 Tahun Lalu

SUNGAI PETANI: Enam tahun sudah berlalu tetapi tanyalah setiap penduduk di Taman Ria Jaya di sini, apakah mereka masih ingat akan kejadian rogol dan bunuh seorang eksekutif pemasaran berusia 25 tahun yang sedang berjoging di sini dan jawapan yang akan diterima ialah tidak ada siapa yang pernah melupakan insiden tersebut.

Dan begitu juga dengan polis. Penantian selama enam tahun akhirnya selesai apabila tertangkapnya seorang suspek berusia dalam lingkungan 30-an.

Lelaki tersebut telah meninggalkan tanah air sebaik sahaja mayat Chee Gaip Yap, 25, ditemui.

Suspek yang memegang status penduduk tetap Australia ditahan sebaik sahaja dia tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada petang Selasa lalu.

Sebaik sahaja ditahan oleh pihak berkuasa lapangan terbang suspek terus dibawa ke Mahkamah Majistrer Sungai Petani pada Rabu untuk diperolehi perintah reman.

Mahkamah telah mengarahkan suspek ditahan reman selama tujuh hari untuk membantu siasatan.

Adalah difahamkan, pasukan penyiasat telah menemui DNA suspek pada badan mangsa sebelum dia menghilangkan diri pada 2006.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, CID Asisten Komisioner Zakaria Ahmad ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek.

Katanya, pihak polis tidak pernah menutup kes berkenaan sebaliknya mereka sentiasa mengemaskini kes tersebut setiap dua bulan.

“Malah kami bekerjasama dengan agensi-agensi penguatkuasaan yang lain di semua pintu masuk negara dalam usaha menjejaki lelaki ini.

"Pihak polis kini berharap dengan tertangkapnya suspek, kami telah berjaya menyelesaikan kes berusia enam tahun ini,” katanya.

Chee, yang keluar berjoging di Taman Ria Jaya dekat sini pada lebih kurang jam 6 petang 14 Januari 2006, telah ditemui mati pada jam 2.35 pagi keesokan harinya 200 meter dari kawasan perumahan itu.

Adalah dipercayai, graduan Universiti Utara Malaysia itu telah diekori oleh suspek sebelum dia dibawa lari, dirogol kemudian dibunuh dan mayatnya dicampak semula di kawasan berkenaan.

Sementara itu, bapa Chee, Chee Ah Sau, 56, ketika dihubungi mengucapkan terima kasih kepada pihak polis kerana berjaya memberkas suspek dan berharap keadilan akan dapat ditegakkan atas nama mendiang anaknya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain