suria

Pistol Anggota Polis Yang Dibuang Ke Sungai Melaka Dicari

MELAKA: Polis menggerakkan usaha mencari bahan bukti iaitu sepucuk pistol milik seorang anggotanya yang dipercayai dibuang ke dalam Sungai Melaka berhampiran Jambatan Hang Jebat di sini setelah rumah beliau dipecah masuk empat penjenayah Khamis lepas. Ketua Polis Negeri Datuk Chuah Ghee Lye berkata, pihaknya akan berusaha mencari pistol itu dengan bantuan Unit Skuba Pasukan Bomba dan Penyelamat negeri.

"Kita masih menyiasat kes ini, dan berdasarkan soal siasat awal suspek yang ditahan hari ini, dia mendakwa membuang pistol berkenaan ke dalam Sungai Melaka selepas melakukan rompakan tersebut.

"Bagaimanapun, usaha mencari bahan bukti tersebut petang ini gagal ditemui walaupun keempat-empat suspek dibawa ke lokasi bagi membantu siasatan," katanya ketika dihubungi, Rabu.

Chuah berkata, rumah anggota polis berpangkat Koperal itu dipecah masuk suspek yang berusia lingkungan 21 dan 28 tahun di Batu Berendam kira-kira 9.30 malam.

Dalam kejadian itu, mereka sempat melarikan beg berisi sepucuk pistol, gari dan beg duit ketika anggota polis berkenaan mandi selepas pulang dari bertugas.

Suspek akan ditahan reman esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan bagi kesalahan pecah rumah serta Seksyen 380 kanun sama kerana mencuri. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain