suria

Matrade Kecewa Syarikat Malaysia Tidak Sertai Pameran Perdagangan Antarabangsa

FRANKFURT: Perbadanan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) kecewa dengan sikap banyak syarikat Malaysia yang "terlepas banyak peluang besar" kerana tidak mempamerkan produk masing-masing di pameran-pameran perdagangan antarabangsa.

Pesuruhjaya Perdagangan Kanan Matrade yang berpangkalan di sini, Sabri Abdul Rahman berkata kehadiran di pameran-pameran sedemikian merupakan peluang mereka untuk menembusi pasaran dunia.

Satu contoh yang jelas ialah syarikat Malaysia terlepas peluang besar kerana tidak menyertai HeimTextil Fair of Frankfurt, yang baru berakhir yang merupakan pameran perdagangan terbesar di dunia bagi industri tekstil, katanya.

"Di sinilah (Frankfurt) pembeli dari seluruh dunia, yang bukan dari Jerman semata-mata, datang untuk membeli dari seluruh dunia.

"Syarikat-syarikat Asia telah berebut-rebut datang ke sini untuk bertemu pembeli antarabangsa," katanya kepada Bernama mengenai pameran Heimtextil, yang menyaksikan kehadiran ramai pempamer dari negara-negara Asia.

Sabri secara khususnya melahirkan rasa prihatinnya kerana syarikat Malaysia tidak mengukuhkan usaha pemasaran masing-masing dengan mengambil mengambil di pameran khusus berikutan pertumbuhan eksport yang kukuh yang dicatatkan oleh industri tekstil dan pakaian Malaysia.

Eksport tekstil dan pakaian global Malaysia berjumlah RM9.872 bilion antara Januari dan November tahun lepas, yang meningkat 4.3 peratus berbanding RM8.455 bilion pada 2010.

Eksport tekstil dan pakaian ke Jerman melonjak kepada RM404 juta pada tahun lepas, yang meningkat 43.1 peratus berbanding dengan RM282 juta pada 2010.

"Pertumbuhan sedemikian dapat dikekalkan hanya melalui peningkatan usaha pemasaran, yang termasuk penyertaan di pameran perdagangan," kata Sabri.

Ketidakhadiran Malaysia di Heimtextil Fair sangat jelas berikutan penyertaan banyak pempamer dari beberapa negara Asean di pameran itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain