suria

Mahasiswa Jangan Jadi Tali Barut Pembangkang - Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR: Golongan mahasiswa di negara ini diingatkan supaya tidak menjadi hero atau tali barut pembangkang dalam memperjuangkan sesuatu perkara atau isu yang boleh merosakkan masa depan mereka. Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan berkata, adalah lebih baik jika mereka aktif dalam program atau aktiviti lain yang berfaedah seperti khidmat masyarakat atau pertandingan di peringkat kebangsaan.

"Apa yang mereka hendak tunjuk sangat ini? Adam Adli (Abdul Halim) itu buat salah, jadi kena hukum. Adakah kita hendak membiarkan orang bersalah itu terlepas hukuman. Jangan hendak jadi hero atas sebab yang merosakkan, biarlah jadi hero atas sebab-sebab yang baik.

"Mereka tidak dapat mencapai apa-apapun. Jangan jadikan diri sebagai tali barut pembangkang. Apa yang mereka inginkan ini, belajarpun tidak habis lagi," katanya kepada pemberita selepas majlis anugerah cemerlang Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2011 dan program juara rakyat Parlimen Cheras pada Rabu.

Beliau diminta mengulas tindakan sekumpulan mahasiswa yang didakwa akan mengadakan demonstrasi aman di depan sebuah pusat beli-belah di ibu negara bagi memperjuangkan nasib Adam Adli, penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris yang digantung pengajian tiga semester kerana menurunkan bendera memaparkan wajah Perdana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

Terdahulu, Ahmad menyampaikan anugerah kepada 293 pelajar 11 sekolah menengah di bawah sekolah angkat Yayasan Pendidikan Cheras yang memperoleh keputusan A dalam semua subjek PMR 2011.

Mereka menerima hadiah berupa sijil simpanan premium Bank Simpanan Nasional (BSN) bernilai RM150, sijil penghargaan, tiket percuma ke Taman Tema Berjaya Times Square, buku motivasi serta tabung 1Malaysia.

Selain itu, empat sekolah cemerlang yang dipilih berdasarkan peratusan keputusan A dalam semua subjek PMR turut menerima anugerah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Bintang Selatan dan SMK Seri Bintang Utara untuk kategori sekolah kawalan manakala SMK Puterijaya serta SMK Convent Jalan Peel bagi kategori sekolah bukan kawalan.

Turut hadir Pengerusi Yayasan Pendidikan Cheras Datuk Syed Ali Alhabshee dan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Wilayah Persekutuan Datuk Khairil Awang. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain