suria

Lembaga Penasihat Saran Salinan Pengisytiharan Harta Disimpan SPRM

PUTRAJAYA: Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah mencadangkan salinan fail pengisytiharan harta anggota pentadbiran persekutuan termasuk anggota kabinet, disimpan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM).

Pengerusinya, Puan Sri Zaitun Zawiyah Puteh berkata, selain mencerminkan ketelusan, usaha itu memudahkan siasatan jika berlaku dakwaan rasuah.

"Jadi kita cadangkan kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) supaya apa yang telah diisytiharkan di Jabatan Perdana Menteri, satu salinan dipanjangkan kepada kita untuk disimpan di bawah Pejabat Ketua Pesuruhjaya SPRM," katanya pada sidang media, di sini Rabu.

Katanya, cadangan itu dikemukakan semasa perbincangan dengan Perdana Menteri pada 12 Disember lepas.

Zaitun berkata, pengisytiharan harta itu meliputi anggota keluarga terdekat iaitu isteri, suami dan anak, serta perlu dibuat secara akuan berkanun untuk memudahkan tindakan diambil jika berlaku penipuan dalam pengisytiharan.

"Kalau pengisytiharan hanya melibatkan individu itu seorang sahaja, tidak termasuk anggota keluarga, harta atau aset miliknya boleh dipindahkan kepada nama anak, isteri atau suami," katanya yang berharap cadangan tersebut dapat dilaksanakan secepat mungkin. Beliau berkata, sebagai permulaan, langkah itu hanya kepada anggota pentadbiran persekutuan dan berharap dapat disusuli kerajaan negeri selepas ini.

Mengulas mengenai kerajaan Pulau Pinang yang melaksanakan langkah itu tanpa memasukkan anggota keluarga terdekat, Zaitun Zawiyah berkata: "Saya fikir mereka wajar masukkan anggota keluarga, sebab jika individu itu sahaja tidak memadai.

"...jika mereka tidak ada apa yang mahu disorokkan mengapa tidak."

Berhubung cadangan supaya pembiayaan politik dibuat atas nama parti dan bukan akaun individu, Zaitun Zawiyah berkata saranan itu telah dipersetujui dan dibentangkan di Parlimen.

Diharap semua parti politik akan ambil serius cadangan itu demi kebaikan semua, baik parti pembangkang mahupun kerajaan, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain