suria

Dua Pelajar Ditahan Bantu Siasatan Kes Duda Disimbah Asid

KOTA BHARU: Polis menahan dua pelajar lelaki berusia 16 tahun awal pada Rabu bagi membantu siasatan berhubung kes seorang duda disimbah asid di Tendong, Pasir Mas dekat sini Ahad lepas.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abd Rahman berkata, dua pelajar itu, tinggal di Wakaf Bharu, Tumpat ditahan kira-kira 2.35 pagi Rabu.

Kedua-dua suspek itu ditahan reman tujuh hari mulai Rabu untuk disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera parah, yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebatan, katanya dalam satu kenyataan di sini, Rabu.

Jalaluddin berkata, polis sedang menyiasat punca kejadian itu.

Dalam kejadian 12.15 pagi Ahad lepas, Wan Hussin Wan Yusoff, 52, cedera parah di muka akibat disimbah sejenis cecair dipercayai asid, dan kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II dalam keadaan stabil.

Berikutan kejadian itu, polis menahan dua wanita dipercayai bekas isteri duda terbabit di dua tempat di Tumpat pada hari sama. Seorang daripada mereka dibebaskan dengan jaminan polis pada Isnin lepas. Dalam perkembangan lain, Jalaluddin berkata, polis menahan tiga lelaki berusia antara 30 dan 40 tahun bagi membantu siasatan kes kematian seorang penunggang motosikal, yang disyaki dibunuh, setelah terbabit dalam satu kemalangan jalan raya di hadapan Masjid Badang di sini, Ahad lepas.

Beliau berkata, Idris Mamat, 54, meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian di sini, semalam akibat keretakan berganda pada tengkorak dan pendarahan dalam otaknya.

Isterinya kemudian membuat laporan polis setelah mengesyaki kematian suaminya akibat dipukul, ditendang dan dipijak di bahagian badan serta kepala dalam kemalangan melibatkan motosikal yang ditunggang suaminya dengan sebuah kereta pada 10.30 malam hari tersebut.

Ketiga-tiga suspek itu ditahan reman selama seminggu mulai Rabu untuk disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain