suria

Bekas Pengarah Veterinar N.Sembilan Didakwa Palsukan Dokumen Untuk Naik Pangkat

SEREMBAN: Bekas Pengarah Jabatan Veterinar Negeri Sembilan Datuk Dr Noor Soeraya Norsham, yang dihadapkan ke Mahkamah Khas Rasuah di sini, mengaku tidak bersalah terhadap empat pertuduhan memalsukan dokumen bagi tujuan kenaikan pangkat.

Dr Noor Soeraya, 38, yang kini Pegawai Veterinar di Seksyen Komunikasi Korporat dan Antarabangsa, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di Putrajaya, turut mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan pilihan.

Hakim Datin Nursinah Adzmi membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan dan menetapkan 22 Feb untuk sebutan semula kes.

Mengikut pertuduhan pertama, Dr Noor Soeraya didakwa memberikan satu surat rujukan bertarikh 27 Feb 2009 berhubung Arahan Kenaikan Pangkat dan Pengesahan Jawatan Pegawai Veterinar Gred G48 yang mengandungi butiran palsu kepada Pembantu Tadbir di Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan, Siti Norhayati Md Yusof.

Ketika itu, tertuduh memangku Gred G44 dan didakwa melakukan perbuatan tersebut bagi tujuan kenaikan pangkat ke Gred G48, yang membolehkan penyelarasan gaji dan elaun dibuat menyebabkan dia memperoleh secara salah RM39,536.90.

Bagi pertuduhan kedua, Dr Noor Soeraya didakwa memberikan satu surat rujukan bertarikh 28 Dis 2009 berhubung Arahan Memangku Jawatan Pegawai Veterinar Gred G52 - Khas Untuk Penyandang di Jabatan Veterinar, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, yang mengandungi butiran palsu kepada Siti Noorhayati.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu bagi tujuan penyelarasan gaji dan elaun menyebabkan dia memperoleh secara salah RM5,013.82.

Dr Noor Soeraya juga didakwa memberikan surat rujukan bertarikh 1 Julai 2010 berhubung Keputusan Urusan Kenaikan Pangkat Pegawai Veterinar Gred G48 ke Gred G52 di Jabatan Veterinar, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, yang mengandungi butiran palsu kepada pembantu tadbir yang sama.

Dia didakwa melakukan ketiga-tiga kesalahan di pejabat Jabatan Veterinar Negeri Sembilan, Jalan Pantai di sini antara 16 Mac 2009 dan 2 Julai 2010 mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) 2009, dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai kesalahan.

Mengikut pertuduhan keempat, Dr Noor Soeraya didakwa memberikan Siti Norhayati surat rujukan palsu bertarikh 31 Mac 2011 berhubung Keputusan Pemangkuan Pegawai Veterinar Gred G52 ke G54, di Bahagian Pentadbiran Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan, Lot 1504, Mukim Pantai, Batu 6, Jalan Jelebu di sini pada 12 April tahun lepas.

Bagi pertuduhan pilihan, dia didakwa menggunakan tiga surat rujukan palsu berkaitan sebagai tulen mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun sama yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohd Fairuz Johari menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan.

Peguam Mohammad Faiz Datuk Fadzil pula meminta mahkamah mengurangkan jumlah itu kepada RM3,000.

Beliau berkata ini kerana Dr Nor Soeraya telah berkeluarga dan menunjukkan komitmennya terhadap kes ini dengan hadir ke mahkamah.

Bagaimanapun, Hakim Nursinah berpendapat permintaan itu tidak munasabah kerana pertuduhan terhadap tertuduh amat serius. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain