suria

Polis Tahan Empat Lelaki Disyaki Rancang Seludup Syabu Ke Negara Jiran

TAWAU: Polis menahan empat lelaki rakyat asing yang disyaki merancang menyeludup keluar 52 gram syabu dengan nilai pasaran RM20,000 ke negara jiran dalam serbuan di Sabindo, Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Tawau ACP Ibrahim Chin berkata tiga daripada lelaki berumur antara 21 hingga 29 tahun itu ditahan dalam sebuah kereta pada pukul 4.20 petang manakala seorang lagi ditahan selepas dikejar apabila cuba melarikan diri.

"Sebaik mengenal pasti sasaran, polis menyerbu kereta itu, seorang daripada lelaki yang berada di dalam kereta terus melarikan diri tapi berjaya diberkas," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Ibrahim berkata syabu itu dipercayai dibawa dari Lahad Datu, kira-kira 198 kilometer dari sini untuk dipasarkan ke negara jiran.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Ibrahim berkata sepanjang tahun lepas, seramai 1,198 individu dijatuhi hukuman berkaitan kesalahan dadah dan sebanyak 1.17 kilogram dadah bernilai RM408,422 dirampas di Tawau. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain