suria

Pengarah Eksekutif NFC Sangkal Dakwaan Rafizi

PETALING JAYA: Pengarah Eksekutif Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC), Wan Shahinur Izmir Salleh pada Isnin menyangkal dakwaan Pengarah Strategik Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd Rafizi Ramli berhubung perbelanjaan sebanyak RM593,500 oleh keluarganya melalui kad kredit yang dibiayai dana NFC pada 2009.

Menurut beliau, ia merupakan kad korporat dan digunakan untuk tujuan perbelanjaan bagi membangunkan perniagaan tersebut.

"Tiada perbelanjaan untuk tujuan peribadi seperti yang didakwa. Peruntukan pembangunan perniagaan yang dilaksanakan oleh empat pengarah itu memperlihatkan keupayaannya untuk menjana jualan jutaan ringgit," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Wan Shahinur berkata, pihaknya akan tampil untuk menjelaskan dakwaan yang diputar-belitkan oleh pihak pembangkang sehingga mempengaruhi tanggapan orang ramai terhadap syarikat tersebut.

"Sejak dari awal, Ketua Audit Negara dalam laporannya pada 2010 tidak menyifatkan NFC sebagai gagal dalam mencapai matlamat penubuhannya. Perkataan itu tidak pernah digunakan dalam laporan audit dan orang ramai boleh memuat turun salinan laporan audit dari laman web Jabatan Audit Negara," katanya.

Beliau sekali lagi menegaskan dakwaan penyelewengan dana NFC adalah tidak benar.

Mengulas mengenai dakwaan pembangkang bahawa pengarah NFC menerima pendapatan yang tinggi, Wan Shahinur berkata, tiada sejumlah bayaran seperti didakwa diterima mereka.

Malah, beliau memberitahu bahawa pihak berwajib mempunyai maklumat mengenai pembayaran gaji dan penyata bank milik keempat-empat pengarah terbabit.

"Jumlah pendapatan yang tinggi itu dikeluarkan oleh seorang penulis blog yang ingin menarik perhatian media. Sejak itu, dia (penulis blog) hilang dan kenyataan palsunya disalah tafsir oleh orang ramai," katanya.

Sehubungan itu, Wan Shahinur menasihatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan kenyataan yang disiarkan di Internet yang menyebarkan maklumat palsu dan tidak berasas.

Sementara itu, beliau berkata, walaupun aset syarikat tersebut dibekukan oleh kerajaan, operasi NFC masih berjalan seperti biasa bagi memastikan bekalan daging tidak terjejas dan 100 pekerjanya tidak hilang pekerjaan.

Artikel Sebelum

Artikel Lain