suria

Buruh Ladang Maut Ditikam Di Felda Sahabat 2, Lahad datu

LAHAD DATU: Seorang lelaki tempatan maut selepas ditikam menggunakan benda tajam ketika sedang minum bersama dua rakannya di sebuah kedai minum dekat sini Isnin malam.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Supt Shamsudin Mat berkata mangsa dikenali sebagai Rodi Usop, 31, ditikam di bahagian dada kanannya oleh sekumpulan lima lelaki dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam.

Menurut Shamsudin sebelum kejadian mangsa yang sedang minum bersama rakannya itu didatangi sekumpulan lima lelaki tidak dikenali lalu duduk bersebelahan meja mangsa.

Kumpulan lelaki berkenaan kemudian menyerang mangsa menyebabkan mangsa rebah.

"Selepas kejadian itu kesemua penyerangnya telah melarikan diri," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Shamsudin berkata polis sedang memburu suspek namun setakat ini belum ada tangkapan dibuat dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kes itu agar menghubungi balai polis Lahad Datu atau pegawai penyiasat Cif Inspektor Ladamah Haji Sulaiman di talian 019-5511999. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain