suria

USM Hargai Tindakan Polis Tangani Isu Pelajarnya Keluar Kenyataan Ugutan

GEORGE TOWN: Universiti Sains Malaysia (USM) menghargai tindakan polis dalam menangani kes seorang pelajar institusi itu yang mengeluarkan kenyataan berunsur ugutan menerusi laman sosial Facebook miliknya.

Naib Canselor USM Prof Datuk Omar Osman berkata USM menghargai tindakan pihak berkuasa dalam menangani perkara itu dan menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk membuat siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya.

"Semua pihak perlu berhati-hati dan menyedari implikasi terhadap apa sahaja yang diletakkan dalam laman sosial serta membuat pertimbangan bijak dalam apa jua tindakan yang diambil," katanya dalam kenyataan di sini Isnin.

Beliau mengulas penahanan seorang pelajar jurusan kejuruteraan universiti itu semalam berhubung kenyataan pelajar berusia 24 tahun itu untuk meletakkan bom pada helikopter yang akan dinaiki Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam lawatannya ke USM minggu depan.

Polis telah membebaskan pelajar terbabit selama sebulan bagi membolehkannya menduduki peperiksaan pada Isnin.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain