suria

UPP Kedah Kesan Taktik Baru Seludup Mercun Dengan Teksi

BUKIT KAYU HITAM: Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kedah mengesan taktik baru penyeludupan menggunakan kenderaan awam setelah menahan sebuah teksi yang cuba menyeludup masuk mercun dalam satu operasi pada Ahad.

Timbalan Komander UPP Kedah, Noor Mohamed Shaik Alaudin berkata teksi itu ditahan dalam sekatan jalan raya di Km 1.3 Lebuhraya Utara-Selatan pada pukul 8.30 malam.

"Selepas memeriksa sebuah teksi yang menghala ke Changlun, UPP menemui 80 bungkus mercun papan bernilai RM480 diletakkan di bahagian penumpang belakang dan bonet kereta.

"Ini merupakan modus operandi baru penyeludupan yang kita kesan iaitu menggunakan teksi," katanya pada sidang media, di sini, Isnin.

Beliau berkata pemandu teksi iaitu seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 kerana mengangkut barang larangan.

"Selain itu UPP turut menahan sebuah kereta jenis Proton Saga menghala ke Thailand didapati cuba menyeludup 380 liter petrol bernilai RM722. Pemandunya lelaki tempatan berusia 24 tahun kini ditahan bagi membantu siasatan," kata Noor Mohamed.

Dalam operasi itu juga UPP menahan dua buah lori yang dipercayai cuba menyeludup 1,000 liter diesel bernilai RM1,800 ke negara jiran.

Katanya dua lelaki warga Thailand berusia 48 dan 56 tahun yang memandu lori berkenaan ditahan dan kes diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk tindakan lanjut.

"Kesemua kenderaan yang ditahan dalam operasi semalam bernombor pendaftaran tempatan dan kita yakin ini juga salah satu taktik baru penyeludup yang sebelum ini sering menggunakan kenderaan luar," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain