suria

Tukang Cat Ditahan Dipercayai Miliki 1.5Kg Ketamin

KUANTAN: Seorang tukang cat ditahan polis dipercayai memiliki dadah jenis ketamin seberat 1.5 kilogram di Lorong Seri Teruntum, Jalan Kampung Tengah di sini, tengah malam Ahad.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pahang, Superitendan Yap Toon Khuan berkata, berpandukan maklumat sepasukan anggota polis telah menahan seorang lelaki, 42, dipercayai sedang menunggu pelanggan di lokasi kejadian pada 12.15 tengah malam Ahad.

"Satu pergelutan berlaku ketika polis cuba menahan suspek yang ketika itu sedang memegang kotak bertulis 'Haier DVD Player'.

"Setelah ditahan, polis mendapati kotak yang dipegang suspek mengandungi dua bungkus butiran lutsinar dipercayai dadah jenis ketamin seberat 1.5 kilogram yang dibungkus dalam plastik," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Yap berkata, bekalan dadah berkenaan dipercayai dibawa masuk dari negeri jiran dan dadah berkenaan dianggarkan bernilai RM180,000 mengikut harga runcit.

Polis juga turut merampas sejumlah wang tunai mata wang tempatan dan asing yang bercampur-campur berjumlah RM2,530 dan telefon bimbit suspek.

Suspek ditahan reman sehingga Ahad ini di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - BERNAMA ZAF NF KLS

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain