suria

Reputasi Anwar Beralih Daripada Positif Kepada Negatif:Rais

CYBERJAYA: Penilaian antarabangsa mengenai Datuk Seri Anwar Ibrahim pasti beralih daripada "kononnya positif kepada negatif" berdasarkan satu artikel majalah berprestij "The Economist" yang melihat ketua pembangkang itu sebagai seorang yang tidak boleh dipercayai, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

"Jarang sekali sebuah majalah yang mempunyai reputasi seperti The Economist sanggup mengatakan secara objektif pendapat seperti itu," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Beliau berkata kenyataan oleh majalah antarabangsa itu penting memandangkan pakar-pakar ekonomi telah lama mengikuti dan mengawasi pergerakan Anwar.

"Oleh kerana ahli ekonomi telah mengikuti gerak kerja dan gerak laku Datuk Seri Anwar Ibrahim sekian lama, dengan pandangan itu sekaligus nilai antarabangsa berhubung Anwar Ibrahim tentu akan beralih kepada 'kononnya positif sebelum ini kepada negatif'.

Ulasan mengenai Anwar itu terkandung dalam satu artikel The Economist pada Sabtu lepas berhubung keputusan mahkamah pada 9 Jan yang membebaskan dan melepaskan Anwar daripada tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008.

Menurut artikel itu, walaupun Anwar seorang pemimpin yang berkarisma dan memiliki kehebatan sebagai pemidato, reputasinya sebagai ketua pembangkang telah tercemar.

Rais berkata Anwar tidak boleh mengetepikan atau membuang pandangan negatif seumpama itu dengan mudah sekali kerana ia akan mencerminkan penentuan masa depanpolitik beliau.

Terdahulu Rais menyampaikan geran dana pembangunan industri kreatif berjumlah RM9.7 juta sebagai wang pendahuluan daripada RM15 juta yang disediakan kepada 19 syarikat animasi dan pembekal tempatan yang layak bagi menghasilkan karya bermutu tinggi dan diterima di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata bahawa menerusi dana itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah membuka peluang kepada syarikat tempatan untuk meningkatkan infrastruktur, teknologi dan perisian sedia ada termasuk kepakaran individu yang berbakat dalam bidang penghasilan animasi dan kandungan seperti drama, siri kartun dan dokumentari.

Menurutnya, syarikat-syarikat tempatan juga perlu menghasilkan drama, kartun, animasi, iklan dan dokumentari yang lebih bermutu dan mampu memasuki pasaran antarabangsa. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain