suria

Pengeksport Sarang Burung Walit Ke China Perlu Penuhi Tiga Syarat Kualiti

KUALA LUMPUR: Mulai tahun ini, syarikat tempatan yang mengeksport sarang burung walit ke China perlu memperoleh tiga perakuan termasuk sijil penanda kesihatan veterinar, sebelum produk mereka dibenarkan masuk ke Negara Tembok Besar.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar berkata sijil itu boleh didapati daripada Jabatan Veterinar dan mereka juga perlu mendapatkan perakuan Sistem Pengenalan Gelombang Radio (RFID) daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan sijil kesihatan daripada Kementerian Kesihatan.

Ketiga-tiga perakuan ini bertujuan memastikan kualiti sarang burung itu memenuhi piawaian yang ditetapkan China, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Dagangan dan Depositori Sarang Burung Autentik Malaysia yang pertama di Puchong dekat sini, Isnin.

"Syarat-syarat ini mesti dipatuhi untuk memenuhi syarat ketat yang ditetapkan kerajaan China untuk menerima eksport sarang burung walit dari Malaysia yang mula dilaksanakan mereka pada 2011 iaitu hanya sarang burung dengan kandungan 0 ppm nitrit sahaja dibenarkan untuk dieksport," katanya.

Noh berkata sijil RFID dari SKMM diperlukan untuk membolehkan sarang burung walit yang bermasalah dikesan menggunakan gelombang frekuensi radio untuk menentukan lokasi rumah sarang burung berkenaan.

"Sebelum ini, syarikat yang mengeskport sarang burung walit hanya memerlukan sijil perakuan VHM sahaja, tetapi kini syarat itu ditambah ekoran kemerosotan (mutu) pasaran eksport sarang burung walit dari Malaysia (ke China) pada tahun lalu," katanya.

Noh berkata kemerosotan itu berlaku ekoran kandungan nitrit yang didapati berlebihan pada sarang burung walit dari Malaysia selepas pemeriksaan oleh pihak berkuasa China.

"Oleh itu, kini wakil pakar dari China sedang dalam peringkat perbincangan dengan wakil pakar kita daripada Kementerian Kesihatan untuk menentukan nilai kandungan nitrit yang dibenarkan pada sarang burung walit dari Malaysia kerana sebelum ini tidak pernah pun ditetapkan.

"Untuk mendapat sarang burung walit yang mempunyai kandungan nitrit 0 part per million (ppm) adalah sukar tetapi kementerian berharap dapat ditetapkan satu nilai minimum kandungan nitrit, yang akan diumumkan Kementerian Kesihatan, sebelum mengeluarkan sijil perakuan kepada syarikat yang memenuhi syarat itu," katanya.

Noh berkata syarikat yang memenuhi tiga syarat itu akan dibenarkan menggunakan logo "1Malaysia Best" di produk sarang burung walit keluaran mereka tetapi syarikat berkenaan perlu mengenal pasti sebuah syarikat di China sebagai rakan perniagaan bagi memudahkan eksport sarang burung walit dari Malaysia dipantau.

Katanya syarikat di China itu pula mesti melakukan promosi bahawa hanya produk sarang burung walit jenama "1Malaysia Best" sahaja yang dijamin kualitinya dan selamat untuk dimakan.

Dalam sidang media yang sama, Pengarah Kanan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Kementerian Kesihatan Dr Noraini Mohd Othman berkata produk sarang burung walit yang mengandungi nitrit berlebihan dianggap akan memberi ancaman kepada kepada kesihatan manusia dan boleh menyebabkan penyakit barah.

"Kita akan umumkan kuantiti nitrit yang dibenarkan sebaik proses perbincangan dengan pihak dari negara China selesai," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain