suria

Kerajaan Serius Kurangkan Kepentingan Dalam GLC:Idris

PUTRAJAYA: Penjualan kepentingan Khazanah dalam Proton Holdings Bhd kepada DRB-Hicom Bhd menunjukkan kerajaan secara berperingkat-peringkat akan mengurangkan pegangannya dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC), kata ketua pegawai eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) Datuk Seri Idris Jala.

Beliau berkata yang langkah itu bukanlah baharu dan lambat laun sektor swasta akan menjadi enjin utama kepada pertumbuhan.

"Sebelum ini telah diumumkan yang 33 syarikat telah dikenal pasti untuk langkah korporat seperti IPO dan lain-lain," kata beliau kepada pemberita selepas mesyuarat Jawatankuasa Pelaburan Nasional di sini, Isnin.

Bagaimanapun, beliau berkata terdapatnya dalam beberapa perkara di mana kerajaan atau GLC boleh terlibat sama, sambil memberi contoh projek-projek infrastruktur seperti projek Aliran Transit Massa, projek pelaburan jangka panjang terutamanya yang berkaitan dengan teknologi dan projek yang pelabur memerlukan pelabur lain untuk turut serta.

Sebab-sebab strategik dan keselamatan seperti jaminan makanan juga memerlukan kerajaan untuk turut terlibat sebagai pelabur teras, tambah beliau.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata penjualan kepentingan Khazanah dalam Proton kepada DRB-Hicom memang baik kerana DRB-Hicom sememangnya telahpun menjalankan perniagaan yang sama seperti Proton.

"Khazanah pastinya telah melakukan analisis yang begitu teliti dan daripada sudut pandangan kita, mungkin terdapatnya satu sinergi yang baik akan wujud daripada perkembangan ini," kata beliau. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain