suria

Kaji Semula Akta Supaya Si Muflis Diberi Peluang Kedua – Lim

PETALING JAYA: Akta Kebankrapan 1967 perlu dikaji semula bagi membolehkan mereka yang diisytiharkan muflis dapat memohon untuk dikeluarkan daripada kebankrapan selepas tiga tahun dan mengurangkan karenah birokrasi yang berlaku dalam proses pelepasan itu.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim berkata, sudah tiba masanya bagi Kerajaan untuk mengkaji semula Akta berkenaan bagi menggalakkan usahawan muda dan lebih ramai wanita untuk memulakan perniagaan sendiri dan memberi peluang sekali lagi kepada mereka yang telah gagal dalam perniagaan.

“Mereka yang muflis sepatutnya boleh memohon untuk dilepaskan atau pelepasan secara automatik dalam tiga tahun seperti negara-negara lain daripada melalui prosedur yang hanya menyebabkan kesusahan yang remeh-temeh,” katanya.

Beliau berkata, di Malaysia, seseorang itu harus menunggu lima tahun sebelum boleh memohon untuk dikeluarkan daripada senarai kebankrapan.

“Seorang yang muflis perlu membuat permohonan melalui Jabatan Insolvensi di mana memerlukan surat daripada bank atau pemiutang lain. Ramai yang melihat perkara ini amat sukar untuk dilepaskan oleh peminjam,” katanya selepas memberikan ceramah kepada ahli-ahli Persatuan Penjana Usahawan Wanita Malaysia pada Ahad.

Lim berkata, ahli perniagaan yang telah diisytiharkan bankrap selepas menanggung risiko perniagaan perlu dibebaskan daripada kebankrapan sekiranya rekod kewangan mereka daripada pemiutang lain telah dijelaskan bagi memulakan perniagaan yang baru.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain