Hasan Ali Tidak Akan Kemuka Rayuan - Semasa | mStar

Hasan Ali Tidak Akan Kemuka Rayuan

PETALING JAYA: Bekas Pesuruhjaya PAS, Datuk Dr Hasan Ali menegaskan beliau tidak akan mengemukakan rayuan berhubung pemecatannya kerana beliau melihat dirinya tidak boleh kekal bersama parti itu.

Hasan yang dipetik Sinar Harian sebagai berkata, perjuangan beliau demi Islam akan dikhianati sekumpulan 'parasit' jika kekal dalam PAS.

Beliau dipecat oleh PAS berikutan tindakannya yang didakwa menyalahi dan merugikan parti berdasarkan kepada Fasal 82 (9) perlembagaan parti.

Bagaimanapun, beliau diberi tempoh sehingga 7 Februari depan untuk mengemukakan rayuan kepada Majlis Syura.

Pada Jumaat, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Sultan Selangor membenarkan pemecatan Hasan daripada jawatannya sebagai exco kerajaan negeri itu.

Hasan berkata, terdapat sekumpulan 'parasit' dalam PAs yang tidak menyukainya setiap kali beliau menyuarakan isu berhubung alkohol dan murtad di kalangan umat Islam di Selangor.

"Saya tidak boleh mempertahankan Islam dalam parti kerana rakan parti dan sekumpulan parasit ini tidak menyukai isu alkohol dan murtad di Selangor diperjuangkan," katanya.

Hasan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia berkata, penentangan terhadap perjuangannya terbukti apabila beliau dikritik kerana menyokong tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang melakukan serbuan ke atas sebuah gereja tahun lalu.

"Saya tidak boleh. Jiwa saya tak boleh. Saya tidak nampak kenapa saya perlu kekal di dalam parti.

"Saya sanggup digugurkan dalam exco dan meninggalkan segala keistimewaan. Walaupun saya amat selesa dengan jawatan itu, saya akan tinggalkan demi menyelamatkan diri, anak-anak, keluarga dan umat Islam," katanya.

Menurutnya, beliau tidak keseorangan dalam perkara tersebut dan yakin akan wujud pergerakan besar-besaran untuk memperjuangkan akidah umat islam di negara ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

TVET ada potensi besar untuk kerjaya masa depan, ini lepasan SPM perlu tahu untuk jadi graduan ‘terhangat di pasaran’

HEBAT calon-calon SPM tahun 2019 apabila pencapaian mereka lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

default image

Covid-19: Seminar Dr Azizan diteruskan secara online, tapi auranya ‘fuhhh’ macam buat dalam dewan besar - “Kami tak nak tangguh kejayaan anda”

PENULARAN wabak Covid-19 semakin meruncing berikutan peningkatan mendadak jumlah kes jangkitan virus itu di Malaysia.

Artikel Lain