suria

Dua Wanita Ditahan Polis Bagi Bantu Siasatan Kes Simbah Asid

KOTA BHARU: Polis Kelantan menahan dua wanita dipercayai boleh membantu polis dalam siasatan kes seorang duda disimbah asid di Kampung Tendong, Pasir Mas pada Sabtu lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Superitendan Lai Yong Heng berkata, kedua-dua wanita itu, dipercayai bekas isteri duda terbabit, ditahan di dua tempat berasingan di Tumpat di sini, Ahad.

"Kedua-dua wanita itu ditahan reman hari ini untuk membantu siasatan kes tersebut," dan percaya dengan penahanan kedua-dua wanita itu, pihak polis dapat menyelesaikan kes tersebut," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan serah terima tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di Ibu Pejabat Kontinjen Kelantan (IPK) di sini, Isnin.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kelantan, Deputi Superitendan Mit A/L Emong yang memangku jawatan ketua jabatan itu telah menyerahkan tugas tersebut kepada Superitendan Amran Ramli, yang sebelum ini merupakan Timbalan Ketua Bahagian Risikan Narkotik IPK Terengganu.

Lai berkata, dalam kejadian Sabtu lepas, mangsa Wan Hussin Wan Yusoff, 52, cedera parah di muka akibat disimbah sejenis cecair dipercayai asid, dan kini dirawat di wad rawatan rapi Hospital Raja Perempuan Zainab II dalam keadaan kritikal, tetapi stabil.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera parah.

Sementara itu, Amran berkata, beliau akan meneruskan usaha membanteras kegiatan penyeludupan dan pengedaran dadah dari kawasan sempadan.

Pada tahun lepas, kes tangkapan membabitkan penyeludupan dadah di Kelantan meningkat 25 peratus iaitu 11,670 kes berbanding 10,152 kes pada 2010.

Manakala kes penyalahgunaan dadah di negeri itu pula meningkat 37 peratus iaitu 11,145 kes berbanding 9,753 kes tahun sebelumnya. - BERNAMA HNH ZBI HK KLS

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain