suria

Ahli Perniagaan Diberkas Cuba Rasuah Pegawai Kementerian

SIBU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang ahli perniagaan dari Sarikei kerana cuba merasuah seorang pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Penolong Penguasa SPRM, Muhammad Firdaus Omar berkata, suspek berusia 43 tahun itu ditahan pada 13 Jan lepas ketika operasi bersama SPRM dan kementerian terbabit.

"Dia dikatakan cuba merasuah pegawai itu sebanyak RM10,000 agar pegawai berkenaan tidak mengambil tindakan ke atas syarikatnya yang membekalkan barangan bersubsidi ke bahagian terbabit," katanya.

Lelaki itu yang direman selama enam hari sejak 14 Jan, merupakan yang ketiga ditahan atas kesalahan berkaitan pengangkutan atau pembekalan barangan bersubsidi di negeri ini.

SPRM menahan dua suspek di Miri minggu lepas kerana membuat tuntutan palsu terhadap bayaran pengangkutan tahunan berjumlah RM105 juta yang diberi kerajaan kepada penyedia pengangkutan, pembekal dan ahli perniagaan yang terbabit dalam penghantaran barangan bersubsidi ke pedalaman Sarawak.

Seorang daripada mereka diberkas kerana cuba merasuah pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan cawangan Miri. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain