suria

Sokongan Kaum Minoriti Di Terengganu Penting Tentukan Kejayaan BN Dalam PRU-13

BESUT: Sokongan kaum Cina dan Siam tetap memainkan peranan penting dalam menentukan kejayaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) di Terengganu sungguhpun mereka merupakan kaum minoriti di negeri ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said pada Ahad.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional Terengganu berkata, setiap golongan dan kaum memainkan peranan penting dalam setiap pilihan raya dan mereka jangan sekali-kali tidak ambil peduli kerana keputusan pilihan raya umum akan menentukan masa depan mereka sendiri.

"Walaupun kaum Cina dan Siam hanya merupakan kira-kira lima peratus daripada jumlah pengundi di negeri ini, tanggungjawab untuk mengundi jangan diabaikan kerana ia boleh mengubah nasib mereka kalau tersalah pilih," katanya ketika berucap pada Program Malam Mesra Kaum Tionghua dan Siam daerah Besut di Dewan Gong Kemuntong di sini, malam Sabtu.

Turut hadir Ketua Umno Bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh, Anggota Parlimen Besut yang juga Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin, wakil-wakil rakyat tempatan serta ketua-ketua jabatan disamping kira-kira 1,000 masyarakat Cina dan Siam tempatan.

Menurutnya, masyarakat kumpulan minoriti perlu bersatu di bawah BN dan terus memberi sokongan yang padu yang perlu dibuktikan dengan tindakan mengundi BN.

Katanya, sekiranya Terengganu terus aman dan politik terus stabil sudah pasti pelbagai pembangunan akan dapat dirasai oleh semua pihak termasuk golongan minoriti.

Pada program itu, seramai 100 warga emas dari kedua-dua kaum itu menerima sumbangan kewangan daripada kerajaan negeri. - BERNAMA

Artikel Lain