suria

PRU-13: Pemuda Umno Siap Strategi, Sasar Pengundi Muda Lelaki

Oleh IZRA ABD RAHMANKUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda Umno pada Sabtu, mengumumkan telah bersiap sedia dengan jentera dan strategi menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, pergerakan itu sudah menetapkan strategi dan hala tuju dengan mensasarkan pengundi muda lelaki untuk pilihan raya kali ini.

"Pemuda Umno sudah sampai peringkat terakhir siap-siagaan. Kita dalam keadaan 90 peratus telah bersiap sedia untuk berhadapan dengan pilihan raya,

"Cuma tinggal 10 peratus dan ada sedikit-sebanyak tugas yang saya berikan kepada mereka untuk dilaksanakan sepanjang bulan Januari dan Februari ini," kata Khairy pada sidang media selepas memberi taklimat persiapan kepada jentera pilihan raya umumnya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), dekat sini, Sabtu.

Hadir sama Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Khairy berkata, menerusi taklimat tertutup selama hampir lima jam itu, jentera-jenteranya telah diberikan semangat dan kefahaman tentang organisasi, hala tuju dan strategi yang disusun untuk menghadapi pilihan raya.

Menyifatkan strategi tersebut sebagai 'berimpak tinggi' beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut strategi yang dibincangkan kerana ianya merupakan strategi dalaman.

"Saya boleh rumuskan strategi tersebut sebagai strategi yang berimpak tinggi. Sasarannya kepada pengundi muda lelaki," katanya, ringkas.

Beliau menjelaskan, adalah menjadi tanggungjawab pergerakan ini untuk mendapatkan seramai 2.6 hingga 3 juta pengundi muda lelaki untuk PRU-13.

"Kita pecahkan dengan Puteri dan Wanita Umno. Yang selebihnya mereka (Puteri dan Wanita ) yang akan cari," katanya.

Dalam pada itu, Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau juga berkata strategi yang dibuat sayap parti Barisan Nasional (BN) untuk pilihan raya kali ini juga sebagai bersistematik.

Ini kerana, semua pemimpin-pemimpin Pergerakan Pemuda di peringkat bahagian tidak perlu berfikir tentang strategi kerana semuanya telah disediakan.

"Sebelum ini tak pernah ada taklimat awal yang mana semua pemimpin Pergerakan dari setiap bahagian dipanggil. Mereka diberikan strategi dari A sampai Z. Kita bagi apa yang mereka perlu buat.

"Garis panduan asas kita sudah bagi, kemudian kita cuma minta mereka beri 'local input' untuk kita dapatkan gambaran," katanya.

Mengulas isu-isu semasa termasuklah isu-isu yang diketengahkan pihak pembangkang, Khairy berkata pihaknya memberi lebih penekanan terhadap isu-isu transformasi kerajaan BN.

"Kita sentiasa pantau isu-isu semasa tapi tekankan isu-isu transformasi yang dibawa Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Kita tak obses kepada apa yang pembangkang buat. Kita lebih kepada penyampaian maklumat dan memberi penerangan apa yang kita buat sehingga ke peringkat akar umbi kerana kita yakin itulah landasan terbaik untuk BN jadi pilihan generasi muda dalam pilihan raya akan datang, " katanya.

Taklimat ini melibatkan empat tokoh utama pemimpin Pergerakan Pemuda dari setiap bahagian di Semenanjung iaitu Ketua Pemuda Bahagian, Naib Ketua Pemuda Bahagian, Setiausaha Pemuda Bahagian dan Ketua Bilik Gerakan Pemuda Bahagian. Taklimat yang sama akan diadakan di Sabah dalam masa terdekat.

Artikel Lain