suria

Penggantungan Laluan Hanya Semata-Mata Keputusan Perniagaan - Tony

KUALA LUMPUR: Keputusan AirAsia X menggantung empat laluan antarabangsanya yang mengalami kerugian adalah semata-mata keputusan perniagaan dan perlu dilihat sebagai satu yang positif oleh rakyat Malaysia, kata pengasas bersama dan ketua pegawai eksekutifnya AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes.

Beliau berkata, tuduhan bahawa langkah oleh syarikat sekutu AirAsia itu menghentikan laluan Kuala Lumpur - Mumbai, New Delhi, Paris dan London, merupakan usaha untuk bertolak ansur dan mewujudkan strategi perniagaan dengan Malaysia Airlines (MAS), adalah sama sekali tidak benar dan "menjengkelkan".

"Azran Osman Rani (CEO AirAsia X) membuat keputusan perniagaan. Kami adalah yang pertama memperkenalkan model penerbangan jarak jauh tambang rendah dan kini Singapura mengikut jejak langkah kami.

"Dalam hal ini, beliau mendapati bahawa keuntungan terbaik ialah untuk menyediakan laluan empat hingga lapan jam, dengan satu jenis enjin dan pesawat, iaitu Airbus 330. "Jadi, ini tidak ada kena mengenai dengan MAS atau AirAsia. Bagi bahagian MAS pula, CEO Malaysia Airlines, Ahmad Jauhari, mendengar yang penggantungan laluan itu adalah untuk menolong AirAsia," katanya.

Tony berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama di Siri Strategi Runcit 2012, anjuran Maybank Investment Bank dan Maybank Kim Eng, di sini, Sabtu.

Beliau berkata, ia suatu yang baik bagi MAS dan AirAsia boleh bekerjasama dalam bahagian tertentu, tetapi silap untuk menyatakan, ini akan menjejaskan persaingan.

Ditanya mengenai aspirasinya bagi 2012, Tony berkata, AirAsia bermula dengan positif bagi tahun ini, dengan jualan Januari dijangka mencatatkan rekod, berbanding bulan yang sama pada tahun-tahun sebelumnya.

"Saya rasa kami akan mencatatkan rekod bagi Januari. Saya melihat jualan yang besar dari rantau Asia Utara dan sangat gembira dengan tahap permintaan.

"Kami akan terus berkembang setiap tahun. Tahun lepas, kami mencatatkan sejumlah 32 juta penumpang, peningkatan dari 2010.

"Justeru itu, saya yakin dengan pertumbuhan AirAsia tahun ini dan malahan bagi tempoh sepuluh tahun akan datang," katanya.

Beliau berkata, syarikat penerbangan tambang rendah itu baru sahaja memuktamadkan pelan 10 tahunnya dengan 70 pengurusnya.

"Setakat ini, masa depan kelihatan sangat baik. Terserah kepada kami untuk mengurangkan kos kami, memastikan lapangan terbang memainkan peranan kerana ia penting kepada pertumbuhan sesebuah syarikat penerbangan, dan mengekalkan tambang rendah.

"Kami tidak boleh berkembang sekiranya kami menaikkan tambang kami. Malah ia bercanggah dengan prinsip kami," kata Tony. -BERNAMA

Artikel Lain