suria

Keputusan Kerajaan Beku Aset NFC Satu Langkah Tepat

KUALA LUMPUR: Pelbagai pihak menyifatkan keputusan kerajaan membekukan aset Pusat Fidlot Nasional (NFC) bagi membantu siasatan berhubung dakwaan berlaku penyelewengan dana kerajaan dalam projek ternakan lembu, sebagai satu langkah yang tepat.

Penaung Persatuan Pengguna Islam Malaysia Datuk Dr Maamor Osman berkata langkah itu adalah amalan biasa yang dilaksanakan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyita harta yang dipertikaikan ketika penyiasatan dilakukan.

"Ini menunjukkan kerajaan tidak memilih bulu (pilih orang) dalam usaha mencari kebenaran, sesuai dengan pepatah "No Fear, No Favour" iaitu tidak takut dan tidak memihak untuk memberi perlindungan," katanya kepada Bernama di sini, Ahad.

Pada Sabtu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengesahkan kesemua aset NFC dibekukan dan menyerahkan kepada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar untuk mengkaji langkah penyelesaian terbaik dalam isu NFC.

NFC ialah projek 'Lembah Daging' di Gemas, Negeri Sembilan bagi meningkatkan pengeluaran daging tempatan dan mengurangkan pergantungan terhadap daging import.

Sehubungan itu, Dr Maamor berharap pihak berkuasa yang terbabit dapat melaksanakan tanggungjawab dengan ikhlas dan jujur bagi meningkatkan keyakinan rakyat terhadap kewibawaan sesebuah organisasi itu.

"Segala langkah penyelesaian mengenai masalah ini biarlah diuruskan oleh pihak yang berwajib," katanya.

Dalam pada itu, Dr Maamor berkata kerajaan harus memberi dana kepada petani dan peladang sedia ada yang telah dinobatkan sebagai 'peladang jaya' untuk meningkatkan produktiviti dan hasil ternakan mereka.

"Jika ini diberikan kepada mereka yang memang sudah terlibat aktif dalam penghasilan daging, tidak mustahil mereka akan lebih berjaya," katanya.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali berkata langkah kerajaan membekukan semua aset NFC adalah satu langkah yang patut diambil dari awal sebaik sahaja isu NFC berbangkit.

Beliau berkata rakyat mahu melihat kerajaan mengambil tindakan segera dan pantas menangani isu itu.

"Tidak wajar mana-mana pihak membuat sebarang spekulasi sehingga penyiasatan selesai," katanya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Bernama.

Beliau berkata rakyat perlu memberi keyakinan kepada SPRM dan polis untuk menyiasat perkara itu secara telus.

Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia Tan Sri Lee Lam Thye pula berkata langkah kerajaan itu adalah tepat dan wajar kerana isu NFC sudah menjadi isu kontroversi dan perlu diselesaikan secepat mungkin demi kepentingan rakyat.

"Isu ini harus disiasat dan diselesaikan secepat mungkin. Terpulang kepada pihak berkuasa untuk mengambil langkah perlu bagi mengatasi masalah ini," katanya.

Beliau berkata selaras dengan akauntabiliti kerajaan, apabila timbul masalah yang melibatkan wang orang ramai dan peruntukan kerajaan, pihak kerajaan perlu memberi penjelasan.

"Terpulang kepada Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani untuk menjelaskan kepada orang ramai dan memberi jawapan selepas mengambil tindakan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain