suria

Belasungkawa: Malaysia Mangsa Transit Dadah Tidak Lumpuhkan Semangat Govinden

Datuk M. Govinden.
Datuk M. Govinden.
Datuk M. Govinden.

PETALING JAYA: Malaysia dikatakan berisiko besar sebagai negara yang menjadi tumpuan untuk kegiatan penyeludupan dadah dan perkara itu diakui sendiri oleh Pengarah Kastam Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Datuk M. Govinden.

Malah beliau turut ‘membongkarkan’ mengenai trend modus operandi sindiket dadah pada masa ini semakin berubah apabila menjadikan ramai warga tempatan terutama gadis yang diumpan sebagai keldai dadah.

"Statistik pada Jun tahun lalu menunjukkan seramai 17 wanita tempatan telah ditahan di China. Itu belum lagi di negara-negara lain. Mereka terpesona dengan tawaran sindiket yang antaranya membeli beg tangan berjenama mahal.

"Ibu bapa perlu memandang berat dan mengambil perhatian serius dengan perkembangan tidak sihat ini,” demikian antara pesanan terakhir Govinden kepada seluruh rakyat Malaysia berhubung isu dadah di negara ini.

Datuk M. Govinden bagaimanapun meninggal dunia pada usianya 57 tahun pada malam Sabtu kerana serangan sakit jantung.

Sebagai antara peneraju agensi penguatkuasa di KLIA, mendiang menyuarakan kebimbangannya terhadap kawalan keselamatan di pintu masuk utama negara.

Beliau sebelum ini menyatakan bahawa sindiket dadah telah mengubah laluan asal mereka ke negara ini bagi mengaburi pihak berkuasa sekali gus menjadikan semua penerbangan ke Malaysia berhadapan risiko besar untuk kegiatan penyeludupan.

Namun perkara itu tidak melumpuhkan semangat beliau yang dilahirkan pada 22 Mac 1955 ini kerana baginya, tidak kira dari mana destinasi penumpang berlepas, Jabatan Kastam di KLIA akan sentiasa memperketatkan pemeriksaan tanpa memfokuskan laluan yang disyaki ada kaitan dengan penyeludupan dadah semata-mata.

“Jabatan Kastam akan menambah bilangan anggotanya untuk memperketatkan pemeriksaan di KLIA,” kata Govinden.

Demikian kata-kata mendiang sebagai seorang pemimpin yang mempunyai banyak pengalaman dalam aspek pengurusan kastam di negara ini.

Anak kelahiran Pokok Sena, Kedah itu telah lama berkhidmat dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia iaitu selama 31 tahun sejak tahun 1980.

Antara jawatan yang dipegangnya ketika bertugas dengan jabatan itu ialah Pengarah Bahagian Perancangan Korporat dan Pengarah Perkhidmatan Teknik di ibu pejabat.

Difahamkan, beliau juga merupakan salah seorang pakar dalam bidang Penilaian Kastam. Ini jelas menunjukkan kredibilitinya disegani.

Walaupun kepimpinan Govinden sebagai Pengarah Kastam KLIA mungkin dianggap masih baru apabila dilantik memegang jawatan itu pada Februari 2010 namun dengan kerjasama jabatan itu selama hampir dua tahun itu, banyak kejayaan dicatatkan.

Paling baru adalah tangkapan ke atas seorang wanita warga emas berumur 57 tahun dari Iran pada 7 Januari lalu menerusi penemuan dadah jenis syabu seberat enam kilogram bernilai RM1.5 juta yang disorok dalam bagasinya.

Taktik baru dengan menambah pewarna dan perisa tiruan ke atas dadah berkenaan yang dibawa masuk ke negara ini bagi mengaburi mata pihak berkuasa nyata gagal.

Soroklah dalam peket kecil kopi cappucino, pek makanan, bungkusan krimer, pek tisu lembap dan bekas bedak talkum, semuanya berjaya dikesan oleh Kastam KLIA.

Penahanan wanita Iran itu merupakan tangkapan kedua di KLIA pada tahun ini selepas tiga keldai dadah yang tiba dari Turki ditahan pada 1 Januari lalu kerana menyeludup masuk syabu seberat 10.2 kilogram dianggarkan bernilai RM2.5 juta yang disorok dalam bagasi penumpang.

Jabatan Kastam juga berjaya menumpaskan empat percubaan menyeludup 14.25 kilogram dadah yang dianggarkan bernilai RM2.3 juta di KLIA dalam tempoh 24 jam pada tahun lalu.

Antara kejayaan paling besar lain bagi Kastam KLIA apabila menumpaskan cubaan menyeludup 40 kilogram dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM10 juta di Zon Perdagangan Bebas, KLIA pada 21 Oktober tahun lalu.

Govinden berkata, statistik Kastam KLIA pada tahun 2011 mendapati rampasan dadah di lapangan terbang itu berjumlah 1,097 kg dengan nilai pasaran RM261 juta.

"Itu rampasan Kastam sahaja, belum lagi agensi penguatkuasaan yang lain. Nilainya mungkin lebih," katanya yang menggambarkan kegiatan penyeludupan dadah semakin berleluasa dan seharusnya diambil perhatian secara serius.

Pemergian Govinden pada Sabtu meninggalkan seorang balu, Datin Umasankari Govinden dan dua orang anak termasuk seluruh jenteranya di bawah kepimpinannya bagi agensi penguat kuasa itu pintu masuk utama negara.

Ia bukan petanda Kastam KLIA perlu bersikap lemah namun sebaliknya terus bangkit dengan semangat lebih kental meneruskan legasi mendiang.

Menerusi kawalan dan pemeriksaan yang sentiasa komited, penuh tanggungjawab dan lebih cekap daripada kakitangan Kastam KLIA dan agensi penguat kuasa lain, mungkin suatu hari nanti tiada lagi kebimbangan terhadap Malaysia yang dilihat sebagai negara transit dadah.

Diharapkan juga Kastam KLIA terus bersemangat memperjuangkan peranan dan tanggungjawab Jabatan Kastam Diraja Malaysia di samping memelihara keselamatan serta kesejahteraan negara.

Artikel Lain