suria

Sekolah Di Pedalaman Sabah Mempunyai Potensi Jadi Sekolah Berprestasi Tinggi

PAPAR: Sekolah di pedalaman Sabah mempunyai potensi untuk dibangunkan sebagai sekolah berprestasi tinggi, kata Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi.

Beliau berkata sekolah pedalaman juga mempunyai kemampuan untuk melahirkan pelajar cemerlang dalam akademik dan ko-kurikulum biarpun menghadapi pelbagai kekangan.

"Saya cadangkan agar sekolah-sekolah di pedalaman Sabah membuat lawatan penanda aras untuk melihat dan mempelajari kekuatan sekolah berprestasi tinggi lain seperti Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Lubai di Limbang.

"Saya percaya dengan kedudukan sekolah-sekolah di kawasan yang indah biarpun di pedalaman akan menarik minat masyarakat antarabangsa untuk mengadakan hubungan dalam pendidikan dan kebudayaan, sekaligus melonjakkan status mereka sebagai sekolah berprestasi tinggi," katanya kepada pemberita selepas melawat SK Mandalipau dekat sini, Sabtu.

Beliau berkata antara kriteria bagi menentukan sesebuah sekolah mendapat pengiktirafan sebagai sekolah berprestasi tinggi ialah sekolah berkenaan menjalinkan hubungan baik dengan ibu bapa murid, mampu mendisiplinkan murid dan melatih murid mengimbangi pelajaran dan ko-kurikulum dengan cemerlang.

Selain SK Mandalipau, Mohd Puad turut melawat empat lagi sekolah di pedalaman Papar iaitu SK Tanaki, SK Gana, SK Mook dan SK Kaiduan yang memerlukan penambahbaikan dan penyelenggaraan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain