suria

Polis Tahan Dua Pasangan Suami Isteri Bersabit Kes Dadah

SHAH ALAM: Dua pasangan suami isteri yang disyaki memproses dan mengedar dadah secara kecil-kecilan dicekup polis di sebuah rumah di Setia Alam di sini, Isnin lepas.

Ketua Jabatan Jenayah Narkotik Selangor ACP Nordin Kadir berkata selain pasangan terbabit, polis turut menahan dua lagi rakan mereka iaitu seorang lelaki dan seorang wanita rakyat Myanmar dalam serbuan pada pukul 2 petang itu.

"Polis memberkas tiga lelaki dan tiga wanita dalam serbuan itu. Kesemua suspek yang ditahan berumur lingkungan 19 dan 31 tahun," katanya kepada pemberita, Jumaat.

Beliau berkata dalam pemeriksaan terhadap rumah yang dihuni kesemua suspek itu, polis menemui empat plastik lutsinar dipercayai mengandungi heroin seberat 600 gram, sembilan paket syabu (145 gram) dan 50 biji pil eramin 5 yang kesemuanya bernilai RM46,000.

"Turut ditemui ialah paket-paket plastik kosong, satu sealer dan sebuah penimbang yang kami percaya digunakan suspek untuk membungkus dadah dalam kuantiti yang kecil sebelum diedar untuk pasaran setempat.

"Siasatan menunjukkan 600 gram heroin itu boleh dibungkus menjadi 20,000 tiub kecil dengan setiap satu tiup itu mengandungi 0.03 gram (heroin)," katanya.

Dua wanita yang ditahan termasuk wanita Myanmar itu bekerja sebagai pembantu kedai makan di kawasan berhampiran manakala suspek yang lain tidak bekerja.

"Lima daripada suspek itu juga positif dalam ujian air kencing dan tiga suspek lelaki terbabit mempunyai rekod lampau bersabit kes dadah dan jenayah," katanya.

Dalam serbuan berasingan, polis menumpaskan satu lagi sindiket pengedaran dadah didalangi lima lelaki rakyat Nigeria dan merampas 12 bungkus daun kering mampat disyaki ganja bernilai RM34,000.

Nordin berkata kesemua suspek berumur lingkungan 27 dan 33 tahun itu diberkas di sebuah pangsapuri di Subang Jaya, Rabu lepas, dalam serbuan pada pukul 2 pagi.

"Mereka ditangkap hasil maklumat dan risikan yang dibuat selama seminggu oleh sepasukan polis dari Bahagian Narkotik, Ibu Pejabat Polis Subang Jaya," katanya.

Beliau berkata seorang daripada suspek itu memasuki negara ini dengan menggunakan pas lawatan sosial manakala empat lagi mengaku sebagai pelajar di sebuah kolej swasta di ibu negara.

"Pemeriksaan mendapati dokumen perjalanan milik pelajar-pelajar itu telah tamat tempoh dan soal siasat terhadap suspek juga menunjukkan mereka giat melakukan kegiatan pengedaran ganja di sekitar Lembah Klang sejak pertengahan tahun lepas," katanya.

Kesemua suspek yang ditahan dalam dua serbuan itu kini direman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang boleh membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain