suria

Pelajar Lemas Ketika Aktiviti Riadah Di Pantai Cahaya Negeri, Port Dickson

PORT DICKSON: Mayat seorang pelajar kolej swasta, Nazaruddin Bisul Rahman, 20, yang dipercayai lemas ketika mengadakan aktiviti riadah di Pantai Cahaya Negeri (Batu 4) di sini, ditemui kira-kira tiga jam selepas kejadian dilaporkan, Sabtu.

Penolong Pengarah Operasi negeri, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan Ahmad Nizam Sapaiee berkata bilik gerakkan bomba menerima panggilan daripada orang awam mengenai kejadian itu pada pukul 9.02 pagi.

"Kita kemudian melancarkan gerakan mencari dan menyelamat dengan disertai 20 anggota termasuk pasukan penyelamat di air bermula dengan pencarian di lokasi mangsa dilaporkan hilang," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata operasi mencari kemudian diperluaskan ke kawasan sekitar sehingga mayat Nazaruddin ditemui kira-kira 12.30 tengah hari berhampiran kawasan dia dilaporkan hilang.

Katanya kejadian itu berlaku ketika air laut sedang pasang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Supt Baljeet Singh berkata kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat dibawa ke Hospital Port Dickson untuk dibedah siasat.

Katanya mangsa datang dari Petaling Jaya bersama empat rakannya lelakinya untuk bercuti, selain dua rakan perempuan dari Seremban.

"Kesemua mereka adalah rakan sekolej," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain