suria

Pegawai Polis Cedera Parah Kereta Terbabas Langgar Pokok

MARANG: Seorang pegawai polis nyaris maut setelah kereta yang dipandunya hilang kawalan sebelum merempuh sebatang pokok di KM57, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Kampung Rhu Kubur di sini pada awal pagi tadi.

Akibat rempuhan itu Cif Insp Badrulhisham Jaafar, 35, cedera parah di bahagian kaki dan kepala sebelum dihantar ke Hospital Dungun untuk rawatan lanjut.

Ketika kejadian pada kira-kira pukul 1 pagi, mangsa yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut sedang memandu bersendirian dari arah Marang ke Dungun dan kejadian itu disedari dua anggota polis peronda dari IPD Dungun yang kebetulan meronda di kawasan itu.

Anggota polis terbabit segera menghubungi Bomba dan Penyelamat sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Dungun dan Marang mengambil masa selama 30 minit mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk.

Mangsa yang dilaporkan stabil kemudiannya dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Marang, DSP Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan.

Sementara itu di Dungun, dalam kejadian berasingan seorang warga emas maut apabila dirempuh sebuah kereta ketika melintas jalan di KM98, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, berhampiran Jalan Besar Paka, di sini.

Mangsa Othman Muda, 69 dari Kampung Gong Gemia dalam perjalanan dari rumahnya ke kedai kopi berhampiran kira-kira pukul 9 malam Jumaat.

Akibat rempuhan itu mangsa cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Othman yang tinggal bersama anaknya selepas kematian isterinya sejak 10 tahun lalu dikatakan dari rumahnya menyeberangi jalan sebelum dilanggar sebuah kereta Proton Satria Neo yang datang dari arah Dungun.

Pemandu kereta, Zaimmasduqi Zakariya, 22, dari Kampung Limbong Jaya, Paka dikatakan hilang kawalan menyebabkan mangsa tercampak kira-kira 20 meter dari tempat kejadian.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Daerah Dungun untuk bedah siasat.

Ketua Polis Daerah Dungun, Supt Dahlan Mohd Nor ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain