suria

Najib Suarakan Kegembiraan Terhadap Komitmen Kaum India Di Malaysia

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak menyuarakan kegembiraannya terhadap komitmen dan kepercayaan atau 'nambikei' kaum India di Malaysia, dengan berkata kepercayaan yang utuh adalah sangat penting "sambil kita bersama-sama melakukan transformasi ke atas Malaysia".

Menerusi mesej yang dimuatkan dalam laman blog www.1Malaysia.com.my sempena sambutan pesta Ponggal, Sabtu, Perdana Menteri berkata sebagai rakyat Malaysia "kita akan terus bekerja bersama-sama untuk melakukan transformasi ke atas Malaysia dan oleh itu memastikan segala-galanya cukup bagi semua kaum."

"Sambil kita berkongsi budaya rakan-rakan kita dan tradisi mereka menanak susu dan beras sehingga mendidih sebagai melambangkan limpahan kekayaan dari bumi kita, semua rakyat Malaysia sesungguhnya boleh bersyukur kerana Malaysia sebuah negara yang subur dan menghasilkan banyak makanan," katanya.

Najib turut menggambarkan Ponggal atau pesta menyambut musim menuai sebagai masa yang istimewa bagi kaum India memandangkan ia menandakan permulaan bulan 'Thai' yang baik dalam kalendar India dan kebetulan menjadi pesta utama yang pertama bagi masyarakat India dalam tahun baru ini.

"Sambil semua rakyat Malaysia melangkah ke tahun 2012 dengan keyakinan dan azam yang diperbaharui, kita sekali lagi diingatkan tentang kekayaan kepelbagaian negara yang kita sokong dan pupuk dengan bangga ini," katanya.

Perdana Menteri turut mengucapkan 'Ponggal Vaalthukal' dan selamat menyambut 'Ponggal' kepada seluruh masyarakat India di Malaysia.

"Dalam semangat sebenar 1Malaysia, ayuhlah kita sekali lagi berganding bahu dan menyertai rakan-rakan kita serta meraikan pesta ini dengan harapan agar bersama-sama, kita akan mendapat lebih banyak lagi tuaian yang melimpah ruah dalam tahun-tahun mendatang," katanya.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pula berkata kepelbagaian budaya di negara ini membolehkan rakyat Malaysia dapat melihat kerencaman budaya yang unik dan menarik.

Beliau turut menyarankan rakyat Malaysia mempelajari budaya kaum lain bagi mendapatkan gambaran lebih jelas tentang apa yang sebenarnya diraikan setiap daripada kaum di negara ini.

"Hanya dengan belajar dan memahami apa sebenarnya tujuan dan kepentingan sesuatu perayaan itu, maka kita sama-sama boleh menghargai perayaan kaum lain sekali gus merapatkan hubungan sesama kaum di negara ini," katanya dalam satu kenyataan di sini, Sabtu, sempena perayaan Ponggal, Ahad.

"Dalam memelihara hubungan sesama kaum, seluruh rakyat Malaysia mesti berganding bahu untuk memastikan benteng perpaduan yang telah dibina tidak dirobek oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata sempena perayaan itu, rakyat Malaysia terutamanya kalangan generasi muda perlu mengenali sesuatu perayaan itu dengan lebih mendalam.

Sambil mengucapkan 'Selamat Hari Ponggal' kepada semua masyarakat India, beliau berharap sambutan yang menandakan permulaan penting kepada masyarakat India ini akan membawa masa depan yang lebih gemilang kepada mereka dengan limpahan pelbagai kejayaan yang memberangsangkan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain