suria

Lawatan PM Ke Perak Bermula Dengan Pemukiman Adun BN

BUKIT GANTANG: Lawatan dua hari Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Perak dimulakan dengan menghadiri majlis Jamuan Malam dan Perasmian Pemukiman Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) Seluruh Malaysia di sini, malam ini.

Najib yang ditemani isteri Datin Seri Rosmah Mansor tiba di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh, sebelum menaiki kenderaan sejauh 74 kilometer ke Tapak Perkarangan bersebelahan Pejabat Bangunan Umno Bukit Gantang, di sini.

Ketibaan Najib disambut Menteri Besar, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir serta barisan Adun BN yang menyertai program pemukiman yang berlangsung sejak semalam hingga esok, yang turut dihadiri lebih 10,000 orang tetamu yang lain.

Program pemukiman itu melibatkan Adun yang menjalankan pelbagai aktiviti sepanjang tiga hari dua malam bersama keluarga angkat dari 135 kampung di lapan kawasan Parlimen dan 20 kawasan Dewan Undangan Negeri di utara Perak.

Keesokannya pula, jadual padat Najib bermula seawal 7.30 pagi dengan majlis "Senaman 1Malaysia" yang diadakan di Padang Esplanade, Taiping diikuti dengan tinjauan mesra serta sarapan pagi di Casual Market, Taiping.

Beliau kemudiannya djadualkan ke Padang Bandaran, Parit Buntar bagi merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan pada pukul 10 pagi diikuti dengan pelancaran Dasar Agro Makanan Negara di tempat yang sama.

Najib kemudian akan merentas ke kawasan Parlimen Bagan Serai untuk menunaikan solat Zohor dan menyertai kenduri rakyat di Masjid Tinggi, Bagan Serai.

Lawatan beliau diakhiri dengan Majlis Bersama Rakyat Parlimen Larut yang diadakan di Padang Felda Ijok, pada kira-kira pukul 3 petang.

Beliau dijangka berlepas pulang ke Kuala Lumpur dari Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah pada kira-kira pukul 5 petang. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain