suria

Keyakinan Rakyat Terhadap BN Semakin Meningkat:Najib

BUKIT GANTANG: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata keyakinan rakyat terhadap kepimpinan Barisan Nasional (BN) di peringkat persekutuan dan negeri semakin meningkat kerana perikatan itu mengotakan janji mengikut kemampuan.

Perdana Menteri berkata rakyat menyedari BN bukanlah kerajaan yang gemar bermain politik bersifat populis serta berjanji perkara yang tidak berpijak di bumi nyata.

"Apa yang kita mampu lakukan, kita lakukan dan apa yang kita janji kita laksanakan sebagai kerajaan," katanya ketika berucap merasmikan Program Pemukiman ADUN-ADUN BN seluruh negara di Jalan Simpang, di sini, Jumaat.

Beliau berkata janji-janji itu dibuktikan dengan pelbagai bantuan yang diberikan kepada rakyat seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), kewujudan Kedai Rakyat 1Malaysia dan Menu Rakyat 1Malaysia, pemberian subsidi dalam pelbagai sektor seperti subsidi petrol.

Selain itu, Najib juga membayangkan akan mengumumkan "durian runtuh" untuk masyarakat peneroka tidak lama lagi dan beberapa insentif lain untuk rakyat.

"Jumlahnya saya tidak akan beritahu lagi, sampai masa nanti saya akan umumkan. Biar suspens sikit," katanya.

Bagaimanapun, katanya terdapat pihak yang cuba menidakkan usaha kerajaan membantu rakyat.

Katanya kerajaan BN sentiasa berusaha untuk kesejahteraan rakyat dan "tak reti nak spin".

"Ini politik dia, asyik main pusing sahaja, semua (kita buat) tak kena. Yang kita buat untuk rakyat dia nak tenggelamkan," katanya.

Katanya di bawah kerajaan BN sejak negara merdeka, seorang anak nelayan telah berjaya menjadi Menteri Besar bagi menerajui sebuah negeri.

"Jangan hina Menteri Besar (MB). Masa kecil dia selalu ke laut sepatutnya kita kena bangga anak nelayan jadi MB," katanya merujuk kepada Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Najib juga menyatakan komitmennya untuk terus bekerja keras sebagai Perdana Menteri demi rakyat.

"Saya telah memberitahu isteri saya bahawa hari siang saya semakin panjang dan malam saya semakin pendek. Tapi tidak mengapa demi rakyat," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain