suria

Kerajaan BN Kotakan Janji Bina kompleks Sukan Mini Di Bagan Serai

BAGAN SERAI: Penantian sekian lama penduduk Kampung Masjid Tinggi di sini untuk memiliki kompleks sukan mini berakhir apabila kerajaan meluluskan peruntukan RM4.5 juta untuk pembangunannya.

Berita gembira itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan ringkasnya pada majlis Kenduri Rakyat 1Malaysia di Jalan Banjar kampung itu, Sabtu.

Katanya janji untuk membina kompleks itu dibuat ketika Datuk Azalina Othman Said menjadi Menteri Belia dan Sukan beberapa tahun lalu tetapi terpaksa ditangguhkan ekoran masalah tanah.

"Sebenarnya saya ada hutang dengan orang di sini... hutang untuk buat mini kompleks sukan yang dijanjikan Datuk Azalina.

"Dulu kita tahan dulu permohonan sebab ada masalah dengan tanah tapi hari ini saya sahkan dan saya beritahu pada ICU (Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri) bahawa dewan RM4.5 juta itu tetap akan kita laksanakan," katanya disambut dengan tepukan gemuruh lebih 5,000 tetamu yang hadir.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Kunjungan julung kali Perdana Menteri ke kampung itu juga membawa khabar gembira buat pentadbir dan pelajar Maahad Tahfiz Al-Akhlak Al-Islamiah yang terletak bertentangan dengan lokasi majlis itu apabila Najib turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM250,000 kepada sekolah itu.

Najib turut meluluskan peruntukan RM80,000 kepada Galeri Banjar yang terletak di persimpangan masuk ke Jalan Banjar di sini, dipercayai galeri pertama seumpamanya di Malaysia.

"Untuk galeri ini, ICU kata saya boleh lulus lagi RM80,000. Walaupun saya orang Bugis saya tetap lulus... tak apalah, saya lulus juga," katanya.

Perdana Menteri berkata pendekatan turun padang yang diamalkan banyak membantunya memahami, menyelami seterusnya menyelesaikan masalah yang timbul di kalangan masyarakat.

Katanya pendekatan itu memberi kepuasan yang berbeza daripada beliau hanya berada di Putrajaya membuat perancangan untuk negara.

"Kalau saya duduk di Putrajaya dalam bilik berhawa dingin dan buat perancangan untuk negara tak sama kalau saya menyinsing lengan turun padang jumpa dengan rakyat.

"...Alhamdulillah dengan cara itu saya dapat selesai banyak masalah," katanya.

Terdahulu, Najib yang tiba dari Parit Buntar singgah menunaikan solat Zohor di Masjid Al-Athar bersama kira-kira 500 jemaah.

Selesai solat, Najib bersama Zambry dengan diiringi jemaah lain berjalan kaki ke majlis Kenduri Rakyat yang terletak kira-kira 300 meter dari masjid.

Perdana Menteri turut dilihat bersalaman dengan orang ramai dan penduduk kampung yang berdiri dan sedia menunggu di sepanjang jalan sejak tengah hari.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain