suria

Gerakan Tidak Akan Tekan Status Kesihatan Sebagai Kriteria Pemilihan Calon

KUALA LUMPUR: Gerakan akan mengambil kira status kesihatan mereka yang bakal dinamakan sebagai calon parti itu untuk pilihan raya akan datang, walaupun tahap kesihatan bukan prasyarat untuk pemilihan calon.

Presidennya Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata apa yang lebih penting ialah semangat dan kesediaan untuk berkhidmat dan berkorban kepada rakyat.

"Ia (status kesihatan) akan diambil kira, tapi ia bukan faktor utama. Bagi Gerakan, faktor penting (dalam pemilihan calon) ialah semangat berjuang dan berkorban untuk rakyat," katanya kepada wartawan selepas mempengerusikan mesyuarat di Menara PGRM di sini, Sabtu.

Koh yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri diminta mengulas mengenai kenyataan timbalan presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai pada Khamis bahawa MCA akan mewajibkan bakal calonnya menjalani pemeriksaan kesihatan.

"Saya pernah melihat orang yang mempunyai penyakit tetapi disebabkan semangat dedikasi mereka, mereka boleh mengatasinya," kata Koh.

Ogos lepas ketua pemuda Gerakan Lim Si Pin berkata bakal calon parti itu juga akan dipilih berdasarkan tahap kesihatan selain mempunyai kempimpinan yang baik dan populariti.

Sementara itu, Koh menyarankan supaya kerajaan terus mencari dan melaksanakan langkah-langkah proaktif untuk membantu menringankan beban kos hidup yang semakin tinggi berikutan kemerosotan ekonomi dunia.

Beliau berkata parti itu telah mendapat maklum balas daripada masyarakat khasnya golongan muda yang baru bekerja dan berkeluarga yang terasa terhimpit akibat kemerosotan ekonomi.

"Perdana Menteri telah mengambil beberapa langkah untuk meringankan beban rakyat.

"Tetapi Gerakan berpandangan bahawa tumpuan lebih gigih mesti diberi untuk melaksanakan inisiatif berterusan bagi mengatasi cabaran-cabaran ini," katanya.

Beliau berkata usaha-usaha yang telah dilaksanakan seperti program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan penambahbaikan sistem pengangkutan awam harus diperluaskan ke bandar-bandar lain di luar Lembah Klang. Koh berkata kerajaan juga perlu memastikan supaya pelaksanaan projek-projek di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) membawa manfaat ekonomi kepada masyarakat di akar umbi.

Gerakan bersedia bekerjasama dengan semua pihak untuk menerokai langkah-langkah kreatif bagi menangani masalah itu, katanya.

Dalam hal lain, beliau berkata Gerakan akan mengadakan rumah terbuka Tahun Baru Cina pada 23 Jan dari pukul 9.30 pagi hingga tengah hari di Menara PGRM. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain