suria

EU Mahu Tingkat Kerjasama Dengan Malaysia Dalam Bidang Pendidikan Tinggi

KUALA LUMPUR: Kesatuan Eropah (EU) mahu meneruskan jalinan kerjasama yang lebih erat dengan Malaysia dalam sektor pendidikan tinggi, kata Duta dan Ketua Delegasi EU ke Malaysia, Vincent Piket.

Memuji sektor pengajian tinggi yang terbuka dan berkembang pesat di Malaysia, beliau berkata bilangan universiti dari benua Eropah yang membuka kampus mereka di negara ini semakin meningkat.

"Ini mencerminkan kebolehcapaian pendidikan tinggi di Malaysia dan pada hakikatnya ianya langkah penggalakkan dan iklim pelaburan yang amat positif, katanya semasa menyampaikan ceramah mengenai Perspektif Masa Depan Hubungan Malaysia-EU anjuran Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC) di sini, malam Jumaat.

Turut hadir ialah presiden NPC, Mokhtar Hussain.

Piket berkata bagi meningkatkan kerjasama dari rakan tempatan, kesatuan itu akan membuka Astaka EU pada Pameran Pendidikan FACON di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 17 dan 18 Mac ini.

Di samping sektor pendidikan, Piket berkata EU juga melihat Malaysia dari tiga dimensi utama politik, ekonomi dan rakan perkongsian dalam isu-isu global dan serantau.

"Dalam rantau ini, tanpa disangsikan lagi, Malaysia adalah stabil dan meningkatkan modal serta membangunkan secara pesat pendapatan ekonomi kelas pertengahan atas.

"Kami berminat dengan Program Transformasi Ekonomi (ETP). Terdapat kira-kira 2,000 firma Eropah yang berpangkalan di Malaysia dan maklum balas mereka mengenai program ETP adalah positif," jelasnya.

Mengulas Persidangan Antarabangsa Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) 2012 yang julung kali dianjurkan pada Selasa dan Rabu depan di sini, Piket berkata nilai persidangan itu dapat ditafsirkan menerusi persetujuan pelbagai negara mengenai penekanan aspek kesederhanaan dalam menangani fahaman ekstremis.

Kesatuan EU dianggotai oleh 27 negara iaitu Austria, Belgium, Bulgaria, Cyprus, Republik Czech, Denmark, Estonia, Finland, Perancis, Jerman, Greece, Hungary, Ireland, Itali, Latvia, Lithuania, Luxembourg, Malta, Belanda, Poland, Portugal, Romania, Slovakia, Slovenia, Sepanyol, Sweden dan United Kingdom. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain