suria

Tidak Perlu Berbahas Panjang Untuk Jalani Pemeriksaan Kesihatan Calon: Pairin

TAWAU: Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata, keperluan seseorang calon pilihan raya akan datang untuk menjalani pemeriksaan kesihatan atau sebaliknya tidak perlu diperbahaskan secara panjang lebar.

Katanya ia terpulang kepada individu calon berkenaan untuk melakukannya atau tidak kerana mereka sudah memahami bahawa bagi menjadi pemimpin termasuk sebagai wakil rakyat memerlukan kesihatan yang baik.

"Biasanya seseorang yang ingin berkhidmat untuk masyarakat dia sendiri perlu melakukan pemeriksaan kesihatan sebagai satu langkah untuk memastikan beliau boleh bergerak atau bersemangat untuk bertugas dan berkhidmat untuk rakyat.

Pairin berkata demikian kepada pemberita selepas membuat lawatan ke Pasar Tanjung dekat sini hari ini sambil mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada peniaga-peniaga di pasar berkenaan.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden MCA yang juga Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai semalam yang menyarankan agar semua calon pilihan raya akan datang menjalani pemeriksaan kesihatan.

Menurut Liow MCA akan mewajibkan semua calon daripada parti berkenaan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan itu.

Pairin berkata pemeriksaan kesihatan tidak terdapat dalam peraturan bagi membolehkan seseorang itu menjadi calon namun mengakui kesihatan amat penting bagi memastikan pemimpin boleh melaksanakan tugas dengan baik.

Mengenai lawatan berkenaan Pairin yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata ia bagi mengeratkan hubungan antara pemimpin dan rakyat serta antara pemimpin negeri dan pemimpin masyarakat setempat.

Katanya ia sesuai dengan slogan 1Malaysia bagi mengeratkan perpaduan di kalangan rakyat pelbagai kaum dan kepercayaan di negara ini.-BERNAMA

Artikel Lain