suria

Tahap Kepuasan Masyarakat Terhadap Polis Meningkat - Hishammuddin

PUTRAJAYA: Tahap kepuasan masyarakat yang berurusan di pejabat dan balai-balai polis meningkat kepada 70.5 peratus, jauh mengatasi Indeks Prestasi Utama (KPI) 2011 yang ditetapkan iaitu 60 peratus.

Menyatakan demikian di sini, pada Jumaat Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata pencapaian ini berdasarkan kajian TNS International yang mengukur kepuasan masyarakat terhadap tugas Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Kejayaan ini adalah hasil usaha gigih PDRM dalam memperkenalkan pelbagai pendekatan baru termasuk mewujudkan customer service ratings dan bilik triaj (triage) untuk menangani kes-kes tertentu.

"Kajian tersebut juga menunjukkan dengan jelas bahawa masyarakat yang berurusan dengan pihak polis mengiktiraf tugas-tugas yang telah dilaksanakan dan pada masa yang sama berasa yakin terhadap perkhidmatan anggota polis," katanya dalam satu kenyataan.

Hishammuddin berkata persepsi rakyat secara keseluruhan telah bertambah baik namun beberapa usaha perlu diberi tumpuan, terutama dalam mewujudkan persekitran hidup yang lebih selamat.

"Berdasarkan kajian TNS International pada penghujung tahun lepas berhubung kebimbangan rakyat menjadi mangsa jenayah, sebanyak 52.9 peratus responden yang ditemubual menyatakan kebimbangan menjadi mangsa jenayah.

"Kita akur bahawa usaha-usaha ke arah meningkatkan rasa selamat di kalangan rakyat masih perlu dilipatgandakan," katanya.

Beliau menambah bahawa pencapaian tersebut telah dilaporkan dalam Mesyuarat Delivery Task Force NKRA Jenayah pertama tahun ini yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini, Khamis.

Sementara itu, Hishammuddin berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengenalpasti dua inisiatif untuk membanteras jenayah di seluruh negara bagi mencapai Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Jenayah tahun ini.

Beliau berkata dua inisiatif itu ialah meningkatkan kehadiran polis bagi mengurangkan jenayah jalanan dan mempergiatkan program kepolisan masyarakat (community policing) dengan melibatkan lebih ramai rakyat dalam aktiviti mencegah jenayah.

Katanya lagi, penambahan jumlah anggota polis di jalanan (omnipresence) dirangka dengan lebih komprehensif dimana PDRM mempunyai jumlah kehadiran anggota serta sukarelawan seramai 62,191 orang pada tahun ini untuk digerakkan di seluruh negara - penambahan seramai 35,029 orang dari 27,162 orang pada tahun lalu.

Hishammuddin juga berkata, NKRA bagi tahun lepas amat membanggakan berdasarkan pencapaian petunjuk prestasi utama (KPI) atau NKPI yang ditetapkan apabila usaha-usaha pihak polis untuk menambahbaik tahap perkhidmatan kepada orang awam telah membuahkan hasil.

"Kadar jenayah secara keseluruhan telah menurun sebanyak 11.1 peratus atau 19,629 kes berbanding tahun 2010 dan ini melebihi matlamat asal sebanyak 10 peratus.

"Kadar jenayah jalanan pula telah menurun ke paras 39.7 peratus, iaitu hampir memenuhi 40 peratus yang ditetapkan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain