suria

Remaja 15 Tahun Ditahan Polis Disyaki Terbabit 10 Kes Pecah Rumah

KUALA LUMPUR: Kegiatan pecah rumah kumpulan adik beradik dinamakan 'Geng Kecil' tumpas apabila anggotanya, seorang remaja berusia 15 tahun ditangkap ketika cuba melarikan barangan curi bernilai RM6,000 di sebuah Kondominium di Sri Petaling, di sini Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Wan Abd Bari Wan Abd Khalid berkata remaja itu bersama abangnya, 19, melakukan aktiviti jenayah sejak enam bulan lepas dan dipercayai terbabit dalam 10 kes pecah rumah di Bukit Jalil dan Sri Petaling dengan nilai barangan yang dicuri ialah RM30,000.

Beliau berkata dalam kejadian pada pukul 10.30 pagi Selasa lepas, dua beradik itu memecah masuk sebuah rumah dan melarikan pelabagai barangan, antaranya lima bentuk cincin emas, sebentuk cincin emas putih, MP3, pemain cakera padat muzik (Discman), teropong, empat utas jam tangan dan wang tunai matawang asing bernilai RM4,000.

"Pemilik rumah itu pulang ketika dua beradik itu ingin melarikan diri, dan memaklumkan kepada pengawal kondominium. Seorang daripada mereka berjaya ditangkap dan barangan yang dicuri itu ditemui dalam sebuah beg," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Ekoran tangkapan itu, polis menahan dua pembeli barangan curi daripada 'Geng Kecil', masing-masing berusia 27 dan 41 tahun, pada pukul 2.30 petang keesokannya di dua premis perniagaan di sekitar kawasan Endah Parade, Seri Petaling.

Remaja terbabit ditahan reman sehingga esok manakala dua pembeli barangan curi itu diambil keterangan dan dibebaskan dengan jaminan polis, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain