suria

Rakyat Thailand Ditahan Bawa Ganja Di Stesen Bas Shahab Perdana

ALOR SETAR: Seorang wanita Thailand ditahan di Stesen Bas Shahab Perdana di sini pada Ahad lepas selepas polis menemui 13 ketulan mampat dipercayai dadah jenis ganja dalam dua beg pakaiannya yang dibawanya.

Dalam operasi kira-kira pukul 8 malam, pasukan polis menemui wanita berumur 28 tahun itu membawa dua beg pakaian dan berada dalam keadaan mencurigakan.

"Hasil pemeriksaan pada kedua-dua beg tersebut, kita menjumpai 13 ketulan mampat dipercayai dadah jenis ganja yang telah dibungkus dengan pelbagai warna dengan berat kira-kira 12,950 gram dan nilai pasaran kira-kira RM31,200," kata Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim kepada pemberita di sini Khamis.

Beliau berkata polis percaya dadah itu akan dibawa ke selatan dan tidak pasti sama ada wanita itu sedang menunggu bas, teksi atau kenderaan lain di stesen bas tersebut.

"Wanita itu kini direman sehingga Ahad ini untuk siasatan lanjut dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Ahmad berkata berdasarkan tangkapan yang dilakukan itu, pihaknya mendapati warga Thailand itu menggunakan stesen bas tersebut sebagai transit sebelum membawa dadah ke selatan.

"Dalam tempoh sebulan, kita berjaya menahan dua wanita yang menggunakan modus operandi yang hampir sama iaitu menjadikan stesen bas sebagai transit dadah. Itu adalah kejayaan yang baik untuk tempoh sebulan," katanya.

Beliau berkata pihaknya akan terus membuat pemantauan di tempat-tempat yang dijangkakan dijadikan transit dadah di sekitar Kedah.

Pada 9 Dis lepas, seorang wanita Thailand ditahan di stesen bas berkenaan kerana membawa 18 ketulan mampat dipercayai dadah jenis ganja dengan nilai pasaran kira-kira RM48,000. - BERNAMA

Artikel Lain