suria

Polis Tahan Dua Anggota 'Geng Bintik' Selesai 20 Kes Pecah Kereta

KUALA LUMPUR: Polis menyelesaikan 20 kes pecah kereta melibatkan kerugian RM30,000 berikutan penahanan dua anggota 'Geng Bintik', yang dipercayai menjalankan kegiatan jenayah itu sejak 2009.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Wan Abd Bari Wan Abd Khalid berkata ekoran penangkapan kedua-dua lelaki, polis berjaya menahan seorang lagi yang dipercayai terlibat dalam sindiket jual beli barangan curi daripada kumpulan itu.

Suspek pertama yang berusia 28 tahun ditahan polis peronda ketika cuba melarikan diri selepas memecah sebuah kereta di Jalan Mega Mendung, Off Jalan Klang Lama pada Selasa lepas.

"Ekoran tangkapan itu, pada 12 tengah hari semalam, polis menahan seorang pembeli barangan curi berumur 31 tahun yang mengusahakan kedai telefon bimbit di sebuah pusat beli-belah di Jalan Tun Abdul Razak," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Beliau berkata hasil siasatan lanjut ke atas pembeli barangan curi itu, polis merampas dua komputer riba, sebuah komputer tablet I-pad, satu tag pintar, lima telefon bimbit, satu tetikus dan sebuah beg galas dipercayai barangan curi.

"Beberapa jam kemudian, polis menggunakan pembeli barangan curi itu sebagai umpan untuk memberkas seorang lagi anggota Geng Bintik. Dia ditahan ketika membawa sebuah komputer riba untuk dijual," katanya.

Wan Abd Bari berkata polis kini memburu seorang lagi anggota kumpulan itu.

Siasatan awal mendapati kumpulan itu terlibat dalam kes pecah kereta di sekitar kompleks beli-belah sekitar bandar raya dan kawasan perumahan Taman OUG.

Modus operandi mereka adalah menggunakan pemutar skru untuk memecahkan tingkap kenderaan sebelum mencuri barangan di dalam kereta mangsa.

Kedua-dua anggota Geng Bintik ditahan reman sehingga esok untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan manakala pembeli barangan curi dibebaskan dengan jaminan polis selepas diambil keterangan. - BERNAMA

Artikel Lain