suria

Kes Hina Mahkamah Tangguh Kerana Penulis Blog 'Hilangkan Diri'

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, pada Jumaat menangguhkan prosiding menghina mahkamah melibatkan penulis blog Amizudin Ahmat yang disaman Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim kerana Amizudin telah 'menghilangkan diri'.

Peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Rais, berkata keadaan tersebut menyebabkan beliau gagal menyerahkan dokumen prosiding menghina mahkamah dan pihaknya telah berusaha menyerahkan dokumen itu sebanyak tujuh kali bermula 25 November hingga 7 Disember tahun lepas.

Muhammad Shafee berkata pada 11 Januari lalu, pihaknya cuba mengambil peluang untuk berjumpa Amizudin yang menghadirkan diri untuk pendengaran kes rayuannya di Mahkamah Rayuan, Putrajaya tetapi ia gagal kerana Amizudin sekali lagi menghilangkan diri.

Berikutan keadaan itu, Hakim Datin Zabariah Mohd Yusof memutuskan 2 Februari ini untuk perbicaraan menghina mahkamah terhadap Amizudin.

Pada 21 November tahun lalu, Mahkamah Tinggi memberi kebenaran kepada Rais untuk memulakan prosiding menghina mahkamah kerana penulis blog tersebut telah melanggar sebahagian perintah yang melarangnya daripada terus menerbitkan artikel memfitnah Rais dalam blognya.

Perintah yang dikeluarkan Hakim Zabariah itu ialah susulan daripada keputusan saman fitnah pada 19 Julai tahun lalu yang difailkan Rais terhadap Amizudin.

Rais memenangi saman tersebut dan Amizudin diperintah membayar ganti rugi RM300,000 kepada menteri itu. Hakim Zabariah turut memerintahkan Amizudin membayar kos RM100,000 kepada Rais.

Pada 31 Jan 2011, Rais, 69, memfailkan saman terhadap Amizudin, 42, yang juga anggota jawatankuasa Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) berhubung artikel yang disiarkan dalam blog sharpshooterblogger.blogspot.com, pada atau sekitar 28 Disember 2010.

Dalam samannya itu, Rais berkata artikel berbahasa Melayu itu berniat jahat dan memfitnah beliau serta bermaksud beliau melakukan kesalahan besar merogol dan mampu membunuh pembantu rumah beliau dari Indonesia.

Seorang wanita yang pernah bekerja dengan menteri itu kemudiannya dilaporkan telah memberitahu sebuah portal berita Indonesia bahawa beliau tidak pernah dirogol atau dilayan dengan buruk oleh majikannya itu. - BERNAMA

Artikel Lain